Pindaan Akta 514 beri perlindungan terhadap risiko kerja
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 bukan sahaja untuk menambah baik aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja tetapi juga melindungi seseorang terhadap risiko keselamatan dan kesihatan berkaitan aktiviti orang yang sedang bekerja.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Rabu berkata, ia turut bertujuan memastikan undang-undang buruh dalam negara termasuk berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan selaras dengan kehendak instrumen sejagat khususnya Konvensyen Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1981 (C155).
Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 untuk meminda Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) mengandungi 55 fasal merangkumi penambahan 27 seksyen baharu, pemotongan dua seksyen dan pindaan terhadap 35 seksyen sedia ada.
"Dalam menggubal pindaan kepada Akta 514 ini, pihak kementerian telah mengadakan pelbagai sesi libat urus sejak 2011 bersama agensi kerajaan, pemegang taruh, pihak industri serta pihak berkepentingan yang lain.
"Cadangan pindaan ini juga turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pindaan Undang-Undang Perburuhan di bawah Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan dan juga Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak kesatuan majikan dan pekerja," katanya.
Pada masa sama, Saravanan berkata, terdapat satu lagi akta berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) iaitu Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139).
Menurutnya, Akta 139 yang telah dikuatkuasakan sejak 1967 menggunakan pendekatan preskriptif yang tidak lagi sesuai dengan teknologi yang sentiasa berkembang pada masa ini.
Sehubungan itu, selaras dengan cadangan pindaan Akta 514, Kementerian Sumber Manusia memutuskan untuk memansuhkan Akta 139 dan memasukkan peruntukan berkaitan pemeriksaan jentera yang terdapat dalam Akta 139 ke dalam cadangan pindaan Akta 514 berkenaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!