Suami ugut cerai isteri kerana asyik layan TikTok

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang suami mengugut untuk menceraikan isterinya kerana cemburu dan bosan dengan wanita berkenaan yang sering menghabiskan masa melayan aplikasi media sosial, TikTok.

Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Terengganu, Moktar Salleh berkata, situasi itu berlaku pada tahun ini melibatkan pasangan suami isteri dari sebuah daerah di Terengganu yang berusia lingkungan 30-an.

Menurutnya, si isteri kini diberi masa oleh suaminya untuk berubah sebelum kes tersebut dirujuk ke Mahkamah Syariah.

"Apabila si isteri asyik bermain TikTok dan ramai yang tengok serta meninggalkan tanda suka (like), secara tidak langsung si suami rasa tertinggal selain cemburu.

"Keadaan bertambah buruk apabila si suami minta isteri berhenti, namun tidak diendahkan wanita itu dengan alasan mahu menghilangkan rasa bosan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Situasi itu menyebabkan berlaku ketegangan dan pihak suami kata, kalau tidak berhenti aku cerai kamu," ujarnya ketika ditemui pemberita pada Rabu.

Moktar Salleh
Moktar Salleh

Sehubungan itu, Moktar menasihati pasangan suami isteri supaya sentiasa bertolak ansur dan pihak suami pula tidak melafazkan talak dengan sembarangan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, penceraian dengan alasan remeh-temeh dan tidak munasabah sering berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini.

"Sepatutnya pihak suami tidak menggunakan lafaz talak sesuka hati jika berlaku masalah dengan pasangan masing-masing kerana kesan buruknya terhadap institusi rumah tangga yang dibina.

"Pasangan suami isteri juga diminta agar mencontohi perjalanan hidup Rasulullah SAW serta berpegang dengan hukum syarak bagi mengekalkan keharmonian hidup berumahtangga," ujarnya.

Berdasarkan statistik, sebanyak 2,691 kes penceraian direkodkan di Terengganu pada 2019 dan 1,617 kes pada 2020.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!