Arteta gembira Gunners kekal momentum kemenangan
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta memuji persembahan bertenaga dipamerkan para pemain The Gunners ketika menjinakkan Leeds United 2-0 dalam saingan Pusingan 16 Terbaik Piala Liga di Stadium Emirates.
Malah menurut Arteta, The Gunners berjaya mengekalkan momentum positif dalam saingan domestik selepas permulaan hambar dalam tiga perlawanan awal Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini.
“Pada perlawanan ini setiap pemain Arsenal telah membuktikan kefahaman dan perkara yang perlu dilakukan apabila berdepan kelab sukar seperti Leeds United. Malah mereka telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan sempurna.
“Leeds United tidak dinafikan menghadirkan pelbagai masalah kepada bahagian serangan dan pertahanan Arsenal, yang sememangnya menjadi kebiasaannya dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Namun para pemain sekali lagi berjaya membuktikan kematangan permainan masing-masing apabila bangkit pada babak kedua dengan menterjemahkan setiap tindakan dalam bentuk jaringan,” katanya.
Arsenal menempah slot suku akhir Piala Liga selepas menewaskan pelawat 2-0 hasil jaringan babak kedua Calum Chambers pada minit ke-55' dan Eddie Nketiah (69') dalam perlawanan tersebut.
Tambah Arteta lagi, pada separuh masa pertama anak buahnya kurang klinikal setiap kali mendapat peluang di depan gawang The Peacocks kendalian Marcelo Bielsa tersebut.
“Jika dilihat para pemain berjaya mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol pada babak pertama, namun gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan sepanjang tempoh tersebut.
“Pada babak kedua, kami mengubah beberapa perkara di bahagian serangan dan ternyata para pemain kembali lebih bertenaga apabila menghadirkan impak positif menerusi dua jaringan Chambers dan Nketiah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!