Bajet 2022: Tumpu pada kenaikan harga barang
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan berharap Bajet 2022 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Jumaat ini, dapat memberi tumpuan terhadap kenaikan harga barang.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat kenaikan harga barang secara mendadak dalam sektor pembinaan dan makanan ruminan.
"Saya berharap pembentangan bajet ini dapat memberi tumpuan kepada kenaikan harga barang yang dilaporkan semakin meningkat.
"Kita berharap kerajaan dapat memberi perhatian dan tumpuan yang lebih kepada permasalahan tersebut, kerana ia boleh memberi kesan kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Wisma Negeri dekat sini pada Rabu.
Tambah beliau, kenaikan harga makanan ruminan seperti dedak dan baja akan merencatkan semangat golongan muda yang kini mula menceburkan diri dalam bidang pertanian.
Kebelakangan ini, kata beliau ramai anak muda di Negeri Sembilan mula menunjukkan minat untuk mengusahakan tanah terbiar dengan melakukan kerja-kerja pertanian.
"Namun, jika kenaikan harga makanan ruminan terus meningkat, ini akan melemahkan semangat mereka dan menyebabkan hilang minat.
"Kita berharap kenaikan yang berlaku ini dapat diberi perhatian oleh kerajaan Pusat melalui pembentangan Bajet 2022 nanti,"katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin juga berharap pembentangan bajet nanti turut memberi penggalak kepada pembangunan ekonomi di Negeri Sembilan.
Pada masa sama, beliau berharap kerajaan Persekutuan juga diharap terus menumpukan golongan yang memerlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!