UMP gazet 27.5 peratus kampus sebagai kawasan hijau
KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengazetkan 27.5 peratus kawasan kampusnya sebagai kawasan hijau bagi mewujudkan suasana yang nyaman dan mengurangkan pemanasan global.
Inisiatif penghijauan kampus UMP itu melibatkan kawasan penanaman pokok, kawasan hutan dan kawasan lapang yang ditumbuhi tumbuhan semula jadi.
Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, UMP dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) giat menjalankan penanaman pokok di dalam kawasan kampus.
Menurutnya, antara jenis pokok yang ditanam termasuk tanaman aromatik dan perubatan, spesies asli, spesies yang cepat tumbuh dan spesies pokok yang tumbuh di ekosistem pesisir semula jadi.
"Sehingga kini, bilangan anak pokok yang sudah ditanam mencecah lebih 7,000 pokok,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau sebelum itu menyertai Program Kayuhan Go Green Bersama Pengerusi Lembaga Pengarah anjuran Yayasan UMP di Kampus UMP, Pekan.
Program kayuhan sejauh dua kilometer itu turut disertai Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP dan pengurusan tertinggi UMP serta kakitangan bermula dari Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak menuju ke Rimba Lestari UMP.
Dr Abdul Aziz berkata, program kayuhan itu bukan sahaja mendedahkan kepentingan penjagaan kesihatan melalui aktiviti berbasikal di dalam kampus malah sebagai amalan terbaik dalam menyokong agenda penghijauan kampus.
"Amalan teknologi hijau ini juga dapat meminimumkan degradasi terhadap alam sekitar, memulihara tenaga dan sumber semula jadi dan menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Pusat Reka Bentuk dan Inovasi Teknologi sedang menjalankan projek geran pembangunan produk UMP Rimba Lestari Smart Irrigation System.
Menurutnya, projek itu bagi membangunkan teknologi berkaitan penggunaan sumber bekalan air bawah tanah serta kolam tadahan atau air tasik bagi memastikan tanaman mendapat bekalan air secukupnya.
"Di Rimba Lestari turut ditempatkan pondok wakaf yang dilengkapi teknologi asas sistem solar.
"Sistem solar yang dilengkapi bateri VRLA mampu bertahan sehingga lima tahun itu boleh digunakan untuk menghidupkan lampu dan mengecas telefon," katanya.
Beliau berkata, tenaga solar pondok wakaf itu mampu menghasilkan tenaga anggaran sebanyak 1.3 kilowatt (kW) sehari
"Setakat ini, terdapat 20 pondok wakaf di UMP Gambang dan Pekan yang dilengkapi sistem solar dan boleh digunakan pelajar," katanya.
Tambah beliau, pelan kampus lestari yang sedang dibangunkan UMP itu akan memberi pengalaman kehidupan gaya kampus kepada pelajar dan suasana tempat kerja yang terbaik kepada warga kerja.
Katanya, ia juga melibatkan pembangunan mampan fasiliti hijau, penjimatan tenaga dan sumber air, pengangkutan yang cekap, pengurusan sisa organik, bukan organik, sisa terjadual, teknologi lestari dan kampus selamat.
Pada Program Kayuhan Go Green Bersama Pengerusi Lembaga Pengarah anjuran Yayasan UMP itu, turut berlangsung Pra Pelancaran Tour De Pahang Kayuhan 900 km menjelang Sambutan 20 tahun UMP dan 'Tok Gajah Virtual Challenge'.
Program itu salah satu usaha Yayasan UMP dalam mengumpul dana bagi bagi membantu pelajar dan golongan komuniti di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!