Yawas jalin kerjasama rangka program bagi pendidikan khas

Siti Mariah (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Zawawi (kiri) selepas majlis menandatangani kerjasama pintar itu pada Rabu.
Siti Mariah (kanan) menyerahkan cenderahati kepada Zawawi (kiri) selepas majlis menandatangani kerjasama pintar itu pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) memeterai perjanjian kerjasama pintar bersama Universiti Malaya (UM) dan Persatuan Pendidikan Khas Kebangsaan Malaysia bagi melaksanakan Program Training of Trainers (ToT) Anak Istimewa Selangor (Anis).

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerjasama ini bertujuan bagi merangka dan melaksanakan program yang relevan buat anak istimewa di negeri ini dengan keperluan semasa melalui perkongsian tenaga dan kepakaran bersama institusi pengajian tinggi serta badan sokongan berkaitan pendidikan khas.

Siti Mariah berkata, usaha ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan Selangor bagi meningkatkan akses orang kurang upaya (OKU) di negeri ini kepada pendidikan sekali gus membangunkan ekosistem yang inklusif.

"Program ToT Anis akan melibatkan peserta dalam kalangan mahasiswa atau graduan pendidikan selain daripada bidang pendidikan khas, pendidik di institusi seperti tadika dan taska serta sukarelawan anak istimewa.

"Peserta bakal didedahkan dengan aspek pengajaran dan pembelajaran berkaitan murid berkeperluan khas seperti strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan," katanya.

Siti Mariah berkata demikian sewaktu berucap ketika majlis menandatangani kerjasama pintar itu yang berlangsung secara dalam talian pada Rabu.

Majlis menandatangani kerjasama itu adalah melibatkan Pengurus Besar Yawas, Gan Pei Nei, Dekan Fakulti Pendidikan UM, Profesor Madya Dr Zawawi Ismail dan Timbalan Presiden Persatuan Pendidikan Khas Malaysia, Datuk Badruddin Abu Bakar.

Di samping itu, Siti Mariah berkata, bagi menyediakan pendidikan yang kompeten, peserta terlibat juga akan mendalami tentang beberapa perkara seperti ciri-ciri murid berkeperluan khas, cara pengenalpastian, intervensi awal dan pentaksiran pendidikan khas.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan program ini juga adalah merupakan kesinambungan kepada inisiatif bagi golongan OKU di negeri ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!