PGA rampas minuman keras tidak bercukai dalam kontena
KOTA KINABALU - Pasukan Gerakan Am (PGA) Tiger Platon Batalion 16 berjaya merampas 1,890 karton minuman keras disyaki tidak bercukai yang disimpan dalam sebuah kontena di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Timur, pada Isnin.
Dalam serbuan Op Kontraban kira-kira jam 10 malam yang dilakukan bersama cawangan perisikan Ibu Pejabat Briged Sabah itu mendapati kontena berkenaan ditinggalkan bersama sebuah treler dalam keadaan berkunci tanpa penjaga.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, operasi dijalankan berdasarkan daripada maklumat awam.
Katanya, selepas pemerhatian selama tiga jam, pasukan operasi terus melakukan serbuan dan membuka kontena berkenaan untuk pemeriksaan.
"Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui 1,890 karton minuman keras disyaki tidak bercukai dengan nilai RM475,883.
"Semua minuman keras berkenaan kemudian dirampas dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Abdul Rani berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk treler dan kontena berkenaan dianggarkan bernilai RM595,833 berdasarkan harga pasaran semasa.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Kastam 1967.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!