ASEAN, Australia perlu tingkat kerjasama hadapi kecemasan kesihatan
KUALA LUMPUR - ASEAN dan Australia perlu bersedia menghadapi kecemasan kesihatan awam dan kemunculan penyakit baharu pada masa depan, melalui perkongsian pengetahuan serta program pembinaan kapasiti, termasuk memanfaatkan teknologi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia yang julung kali diadakan secara maya pada Rabu.
Beliau berkata, Malaysia menghargai sokongan diberikan Australia terhadap usaha ASEAN untuk mengurangkan kesan Covid-19.
“Hampir AS$700 juta telah diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif. Ini sangat membantu ASEAN untuk meneruskan Kerangka Kerja Pelan Pemulihan Komprehensif bagi melaksanakan strategi pemulihan ASEAN dan membina masa depan yang mampan dan berdaya tahan,” katanya pada Sidang Kemuncak itu yang turut dihadiri rakan sejawatannya dari Australia, Scott Morrison.
Ismail Sabri berkata, sejak tahun 1974, hubungan dialog ASEAN-Australia terus berkembang dan semakin kukuh dengan kemunculan pelbagai bidang kerjasama baharu.
Beliau berkata, Malaysia menyokong kemajuan Hubungan Dialog ASEAN-Australia kepada perkongsian strategik komprehensif dan penglibatan tahunan di peringkat tertinggi dapat memberikan sumbangan lebih besar dalam mengukuhkan lagi perkongsian untuk manfaat bersama.
“Malaysia juga menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Morrison mengenai bantuan tambahan sebanyak AS$124 juta dalam 10 tahun akan datang.
“Bidang kerjasama yang disyorkan amat relevan. Malaysia menantikan projek yang saling menguntungkan yang merentasi tiga tonggak Komuniti ASEAN,” tambahnya.
Ismail Sabri berkata, satu lagi bidang yang perlu diberi perhatian ialah kesihatan mental, menyaksikan Malaysia, Brunei dan Australia telah menjalinkan kerjasama rapat.
Beliau berkata, Malaysia telah melancarkan Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020–2025 dan merancang untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan.
“Sehubungan itu, Malaysia berharap dapat bekerjasama dengan negara anggota dan Australia untuk menjadikan penjagaan kesihatan mental lebih mudah diakses dan tersedia melalui penggunaan platform digital,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia juga masih menunggu maklum balas cadangan Mesyuarat Pakar Kesihatan Mental ASEAN-Australia.
Mengenai pendidikan, Ismail Sabri menekankan kepentingan Pendidikan dan Latihan Vokasional Teknikal dan bagaimana ia boleh menyumbang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan syarikat pemula.
Beliau berkata, PMKS menyumbang lebih 60 peratus pekerjaan di rantau ini.
“Pendidikan adalah elemen penting dalam perkongsian ASEAN-Australia. Untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang ini, ASEAN boleh bekerjasama dengan Australia untuk melengkapkan komuniti terpinggir termasuk belia, wanita dan kanak-kanak di rantau ini, dengan kemahiran ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi).
“Ini akan membantu meningkatkan kemahiran dan menghasilkan pekerja mahir. Ia juga akan meningkatkan kualiti tenaga buruh, keberkesanan dan kecekapan PMKS dan syarikat pemula dan akhirnya meningkatkan rantaian bekalan serta produktiviti pembuatan di rantau ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Australia yang turut sama menyertai 'Bersama Gold' Perjanjian Pertahanan Lima Negara, baru-baru ini.
Sidang Kemuncak ASEAN-Australia diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, dianjurkan secara maya selama tiga hari bermula Selasa, dipengerusikan Brunei. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!