Buaya tembaga 'Port Dickson' seberat 80kg ditangkap
SEREMBAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan berjaya menangkap seekor buaya tembaga berukuran 2.52 meter panjang selepas memasuki perangkap yang dipasang di sekitar Batu 12, Port Dickson pada 9 Oktober lepas.
Pengarahnya, Nurul Ermi Ramli berkata, perangkap itu dipasang sehari selepas aduan orang awam mengenai kehadiran buaya tersebut di lokasi berkenaan pada 25 September.
"Buaya seberat kira-kira 80 kilogram berusia sembilan hingga 10 tahun itu memasuki perangkap pada awal pagi dan sebaik menerima maklumat, 12 anggota Perhilitan Negeri Sembilan dihantar ke lokasi berkenaan untuk memeriksa perangkap tersebut,” katanya kepada Bernama di sini pada Rabu.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati buaya tembaga itu berada dalam keadaan sihat dan atas nasihat pegawai veterinar Jabatan Perhilitan, haiwan itu boleh dilepaskan ke habitat yang sesuai bagi memastikan spesiesnya terjaga.
Nurul Ermi berkata, reptilia tersebut berkemungkinan tersesat ke kawasan tersebut dan dipercayai dibawa arus air dari Sungai Linggi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!