Nilai eksport sektor agrikomoditi diunjur RM204 bilion tahun ini
PUTRAJAYA - Nilai eksport sektor agrikomoditi negara pada tahun ini diunjur meningkat kepada RM204 bilion berbanding RM152 bilion pada tahun 2020 seiring dengan peningkatan harga komoditi sawit di pasaran, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Setakat Ogos lepas, katanya, nilai eksport sektor agrikomoditi mencapai RM137.4 bilion dan subsektor sawit pula mencatatkan nilai eksport tertinggi iaitu sebanyak RM63.7 bilion.
“Dalam keadaan pandemik Covid-19, komoditi dalam negara menunjukkan peningkatan dari segi hasil walaupun keadaan ekonomi dalam negara serta seluruh dunia terhalang. Fokus sekarang tertumpu kepada komoditi sawit," katanya ketika sidang akhbarselepas melancarkan Keluarga Malaysia: Minggu Agrikomoditi 2021, di sini pada Rabu.
Zuraida berkata, sawit merupakan penyumbang terbesar dalam Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) daripada segi pendapatan kepada negara dan menunjukkan trend yang baik dengan harganya ketika ini mencapai tahap paling tinggi dalam sejarah iaitu mencecah RM5,000 satu tan.
Semakan di laman web Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan harga minyak sawit mentah pada bulan ini berada di paras RM5,000 dan ke atas bagi satu tan.
Bagi memastikan komoditi sawit terus memberikan hasil kepada negara, Zuraida berkata seramai 32,000 pekerja warga asing dari Indonesia akan dibawa masuk ke negara ini khusus untuk bekerja di sektor perladangan sawit dengan kumpulan pertama perkerja dijangka tiba pada pertengahan bulan depan.
“Kemasukan pekerja asing ini adalah khusus untuk kerja-kerja penuaian. Jika tiada pekerja asing bekerja di ladang, ia akan jadi kerugian kepada negara...anggaran nilai (kerugian) adalah dalam RM30 bilion dan ia perlu diselamatkan,” katanya.
Pada Selasa, Zuraida dilaporkan berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan disediakan kerajaan sebelum Malaysia menerima 32,000 pekerja asing dalam sektor perladangan sawit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Oktober lepas berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 telah meluluskan SOP kemasukan pekerja asing.
“Sekarang SOP pekerja ini sedang diselaraskan dan kos-kos seperti penginapan, pengangkutan dan kuarantin untuk pekerja warga asing ini adalah sepenuhnya ditanggung oleh majikan," kata Zuraida.
Sempena Minggu Agrikomoditi 2021 selama lima hari bermula Rabu, Zuraida melancarkan sebuah bas milik Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara yang komponennya diperbuat daripada gentian kenaf.
Turut dilancarkan adalah produk 'single-origin' coklat berkhasiat oleh Lembaga Koko Malaysia dan program secara maya iaitu MySawit Day oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan TimberReality oleh Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!