Harga rumah dijangka naik tahun depan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebahagian besar rakyat Malaysia berpendapat sekarang ini adalah masa yang sesuai untuk membeli rumah atau pangsapuri kerana mereka menjangkakan harga hartanah akan meningkat menjelang Disember 2022, demikian menurut kaji selidik oleh firma teknologi hartanah, Juwai IQI.

Kaji selidik yang dijalankan mulai 28 September hingga 21 Oktober 2021 turut mendedahkan pilihan pembeli telah berubah dengan mendadak semasa pandemik.

“Pengguna sangat positif mengenai harga rumah dalam tempoh 14 bulan akan datang. Tidak dinafikan, sesetengah pengguna berasa terdesak untuk membeli sebelum harga terus naik," kata pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menambah, Covid-19 telah mengubah pilihan rakyat Malaysia dari segi pengaturan kehidupan mereka dengan 83 peratus responden kini merasakan pejabat rumah atau ruang belajar adalah lebih penting.

“Memiliki kediaman yang lebih besar kini lebih penting bagi 72 peratus responden manakala ruang hijau persendirian pula lebih penting bagi 68 peratus responden,” katanya.

Kashif berkata, pembeli rumah hari ini juga mempunyai keinginan yang kuat untuk mendapatkan ruang bekerja dari rumah kerana kawalan pergerakan yang begitu lama.

Justeru, katanya, ramai pemaju bertindak balas dengan melukis semula pelan lantai untuk projek baharu mereka.

"Dalam beberapa kes, mereka memilih untuk membina di tanah yang lebih murah supaya mereka mampu menawarkan rumah yang lebih besar," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Kaji selidik itu turut mendedahkan bahawa 64 peratus responden percaya tinggal berdekatan dengan pusat bandar adalah lebih penting hari ini berbanding sebelum pandemik.

"Sementara 60 peratus lagi menyatakan duduk berhampiran hospital atau klinik juga lebih penting daripada sebelum Covid-19 melanda," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!