Cadangan pengecualian cukai IPTS dipanjangkan kepada MOF
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memanjangkan cadangan pengecualian cukai untuk institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kepada Kementerian Kewangan dan sesi libat urus masih dilaksanakan bagi pertimbangan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, perkara itu adalah satu daripada inisiatif yang dicadangkan Pasukan Petugas Kebangsaan Pemudahcara IPTS Sebagai Industri (Pemudah IPTS) bagi membantu IPTS meneruskan kelangsungan dalam pandemik Covid-19.
“KPT tidak menafikan ada beberapa IPTS yang ditutup tetapi kebanyakannya berstatus kolej... tapi KPT sentiasa memberi peluang kepada kolej ini untuk memperbaiki pengurusan kolej masing-masing,” katanya pada sesi soal jawab Dewan Rakyat pada Rabu.
Noraini menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) yang ingin tahu sekiranya kerajaan akan mempertimbangkan pengecualian cukai selama dua tahun bagi membantu IPTS meneruskan kelangsungan dalam pandemik Covid-19 memandangkan terdapat IPTS yang gulung tikar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!