Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah

Kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook.
Kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota pertama Senoi Praaq, Datuk Mohd Nor Abdullah @ Bah Ayob.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Mohd Nor pada Ahad lepas dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan itu.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara,” menurut kenyataan Istana Negara yang dimuat naik di Facebook.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Mohd Nor berketurunan Semai dari Kuala Mensoon, Cameron Highlands adalah anggota pertama memegang nombor 001 pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dikenali sebagai Senoi Praaq.

Allahyarham yang bersara dengan pangkat Asistan Superintenden Polis merupakan bapa kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Sapiah Mohd Nor.

“Sebagai anggota pertama Senoi Praaq, Allahyarham adalah saksi utama dalam setiap perjalanan pasukan Senoi Praaq,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Bermula dengan 10 anggota, Senoi Praaq dibesarkan kepada empat seksyen bermula Mei 1956 sebelum ditingkatkan kepada empat skuadron dengan kekuatan 256 anggota bermula 15 Mei 1959.

Kehebatan Senoi Praaq menyebabkan mereka digelar pembunuh senyap dan kisah ini dirakamkan dalam buku 'Death Waits in the Dark: The Senoi Praaq, Malaysia's Killer Elite'. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!