Mei Xing yakin serasi bersama Anna

Foto Badminton Association of Malaysia
Foto Badminton Association of Malaysia
A
A
A

BEREGU wanita yang pertama kalinya digandingkan pada kejuaraan Terbuka Republik Czech Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing, pada mulanya tidak meletakkan sasaran pada kejohanan itu.

Kedua pemain negara itu tidak menyangka mempunyai keserasian yang baik hingga mampu meraih kejuaraan sulung pada penampilan pertama gandingan mereka di kejohanan siri antarabangsa.

“Kami bermain sedaya kami dan gandingan kami serasi. Saya gembira dengan kemenangan ini,” kata Mei Xing menerusi rakaman video daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Pasangan negara mengecewakan gandingan dari Indonesia Febby Valencia Dwijayanti Gani-Jesita Putri Miantoro 21-15, 16-21, 21-17 pada aksi final di Vodova Hall, Brno pada Ahad.

Mei Xing, 24, bergandingan dengan Yap Ling ketika saingan Piala Uber, manakala Anna, 23, pula berpasangan dengan Yap Cheng Wen ketika muncul juara Terbuka Austria 2021.

“Saya akan bergandingan dengan Anna hingga Disember, dan terserah kepada barisan kejurulatihan untuk membuat keputusan mengenainya (pasangan), saya akan ikut dan hormatinya,” katanya.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara Siti Nurshuhaini Azman yang muncul naib juara Terbuka Republik Czech selepas tewas kepada Putri Kusuma Wardani dari Indonesia 16-21, 5-21, mahu menjadikan kejayaannya tempoh hari sebagai landasan ke arah kejayaan yang lebih cemerlang pada masa depan.

“Alhamdulillah, rezeki kali ini saya dapat naib juara di Terbuka Republik Czech, saya rasa pada mulanya saya boleh, tetapi apabila masuk perlawanan kedua, saya hilang sedikit fokus dan tidak dapat ikut permainan lawan.

Artikel Berkaitan:

“Jurulatih (Indra Widjaja) ada pesan untuk lebih bekerja keras dan cuba menambah baik kekurangan saya untuk kejohanan seterusnya,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!