Maszlee buat kemunculan pertama dalam filem Taruh
Treler berdurasi 1 minit 9 saat bagi hasil karya produksi tempatan, Cineplus Asia itu menerima hampir 200,000 tontonan dan tular di media sosial.
Menurut Maszlee, 46, Taruh adalah sebahagian daripada langkah dalam menjayakan inisiatif untuk menyumbang kepada masyarakat, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak berkeperluan khas.
“Ini akan menjadi permulaan untuk sesuatu yang lebih besar untuk masa akan datang yang bakal meibatkan lebih banyak acara dan filem.
"Saya mungkin melakukan beberapa perkara untuk kanak-kanak berkeperluan khas dengan mendorong diri saya ke satu tahap yang lebih tinggi.
“Ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran saya juga untuk agenda yang lebih besar, ia tiada kaitan dengan politik, ia adalah semata-mata demi pendidikan dan cara untuk melahirkan bakat Malaysia di luar negara,” katanya kepada The Malay Mail.
Meskipun Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menganggap produksi bukan asing buatnya, namun bidang lakonan ternyata sesuatu yang baharu buatnya.
“Kamera bukanlah sesuatu yang asing bagi saya, dan produksi bukanlah sesuatu yang baharu, tetapi yang ini akan berbeza sama sekali.
"Kerana ia tidak seperti dokumentari di mana saya menjadi penyampai dan penerbit, kali ini, saya seorang pelakon, walaupun ia adalah filem pendek, ia akan menjadi pengalaman yang sama sekali berbeza dan saya suka mencuba pengalaman berbeza," tambah Maszlee lagi.
Selain itu, Maszlee juga memberi jaminan kepada penonton bahawa Taruh tidak akan kekurangan mesej subliminal, dan beliau bersetuju bahawa mesej tersembunyi adalah cara yang lebih baik untuk mendidik orang ramai.
“Filem itu ada menyentuh tentang hutang, perjuangan pekerja asing, juga menyentuh isu orang yang mencari makna dalam kehidupan mereka, orang yang bergelut dengan asas moral dalam membuat keputusan mereka. Mereka berhadapan dengan kehidupan sebenar,” kata Maszlee.
Untuk rekod, Maszlee bukan ahli politik tempatan pertama yang membabitkan diri dalam bidang perfileman, antara yang pernah membintangi filem pendek adalah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden PKR Tian Chua.
Taruh, sebuah filem pendek Cineplus Original, diinspirasikan oleh siri popular Netflix, "Squid Game", arahan Ayez Shaukat Fonseka.
Selain Maszlee, filem itu turut menampilkan bakat-bakat terkenal seperti Intan Ladyana, superstar APAC Wrestling seperti Nor Phoenix Diana, Azwan Serigala, Gotham, Double K dan personaliti Cineplus Asia, Aqinna B serta ramai lagi.
Taruh akan ditayangkan pada jam 8 malam pada 28 Oktober menerusi laman Facebook Cineplus Asia. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!