MySalam, jangan sampai jadi kirim salam!
KUMPULAN masyarakat B40 yang termasuk dalam kategori ‘alumni Covid-19 atau kuarantin sah’ sebenarnya layak menerima inisiatif program kerajaan yang dinamakan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (MySalam).
Inisiatif yang diberikan kepada rakyat terkesan berjumlah RM50 sehari (maksimum 14 hari) itu bukan hanya untuk yang dimasukkan ke hospital akibat dijangkiti Covid-19, malah mereka yang ditempatkan di pusat kuarantin mempunyai kemudahan hospital, pusat kuarantin tanpa kemudahan hospital dan kuarantin di rumah (home quarantine).
Walaupun tak dapat banyak mana, sekurang-kurangnya ia meringankan sedikit beban kumpulan B40 yang ditimpa bencana.
Masakan tidak, sudahlah diuji dengan penyakit akibat pandemik, tempoh kuarantin yang lama pula menyebabkan mereka tak dapat melaksanakan tugas harian. Contohnya, golongan peniaga, paling kurang 10 hingga 14 hari terpaksa dikuarantin mengikut prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Bayangkan jika mereka biasanya memperoleh pendapatan sekitar RM100 sehari, kalau 14 hari berkurung, dah berapa jumlah kerugian?
Baru-baru ini Merak Jalanan turun lepak minum kopi (mengikut SOP) dengan seorang sahabat. Sempatlah dengar dia mengeluh kerana belum dapat tuntutan menerusi MySalam.
“Aku dah sah kena Covid-19 pada Jun hari tu, kuarantin di rumah dua minggu.
“Awal Julai hantar claim MySalam guna online tapi kenapa sekarang dah masuk November, macam tak ada apa-apa berita pun,” luahnya sedih.
Tambahnya, bukan dia seorang yang berdepan masalah. Ramai lagi yang merungut tidak mendapat respons MySalam. Apa dah jadi, sampai bila nak tunggu?
Entahlah. Jangan sampai kirim salam ajelah nak dapat MySalam!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!