Caj tambahan 50 sen bil Astro tumpuan Dewan Rakyat hari ini
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari keempat hari ini bakal membincangkan mengenai caj 50 sen dikenakan sebagai komisen oleh pejabat pos kepada pelanggan yang membayar bil Astro secara manual di premis berkenaan.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu akan dikemukakan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.
Pada sesi sama juga, Mordi Bimol (PH-Mas Gading) dijadual mengajukan soalan mengenai usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi membina semula ekonomi pasca-Covid-19 serta strategi kementerian dalam merangsang pertumbuhan sektor ekopelancongan.
Selain itu, pada sesi soal jawab lisan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) akan mengemukakan pertanyaan mengenai jumlah laporan ajaran sesat sepanjang 2020 hingga suku ketiga tahun ini serta langkah kerajaan bagi mencegah penyebaran ajaran tersebut.
Soalan berhubung usaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam meningkatkan hasil sawit dan getah melalui kaedah pertanian pintar khasnya melibatkan penggunaan teknologi sistem navigasi satelit dan sistem pengairan pintar pula dijangka diajukan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut).
Turut dijangka dibincangkan adalah soalan Chan Ming Kai (PH-Alor Setar) yang meminta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan tunggakan bil pembetungan Indah Water mengikut negeri dan senarai premis kerajaan yang masih mempunyai tunggakan.
Dalam pada itu, sebanyak enam rang undang-undang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini termasuk Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 serta Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 32 hari hingga 16 Disember. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!