Barcelona pecat Koeman
KELAB La Liga, Barcelona akhirnya memecat pengendali Ronald Koeman selepas 14 bulan bekas pemain Belanda berusia 58 tahun tersebut berkhidmat di Nou Camp.
Pemecatan itu berikutan prestasi longlai kelab Catalan tersebut dalam saingan liga apabila sekadar mengumpul 15 mata selepas mengharungi 10 perlawanan selain tewas dalam dua aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara sebelum ini.
Barcelona kini berada di kedudukan kesembilan liga, enam mata di belakang pendahulu liga selepas tewas 0-1 kepada Rayo Vallecano di Estadio de Vallecas pada Khamis.
Keputusan hambar di laman lawan itu merupakan kekalahan ketiga Barcelona dalam empat aksi terakhir selepas tewas kepada Real Madrid dalam pertembungan El Clasico sebelum ini.
"Presiden Barcelona, Joan Laporta memaklumkan kepada Ronald Koeman berkenaan keputusan pemecatan selepas kekalahan kepada Rayo Vallecano.
"Ronald Koeman akan mengucapkan selamat tinggal kepada pemain-pemain Barcelona," kata jurucakap kelab di laman sosial mereka.
Pada musim lalu, bekas pengendali Belanda, Everton dan Southampton itu mengemudi juara lima kali kejuaraan kelab Eropah tersebut di kedudukan ketiga La Liga.
Pada saingan musim ini, Koeman berdepan kekangan membantu Barcelona berikutan masalah kewangan dihadapi kelab tersebut, selain kehilangan penyerang sensasi, Lionel Messi kepada kelab Ligue 1, Paris Saint Germain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!