Israel teruskan rancangan bina lebih 3,000 penempatan haram
BAITULMAQDIS - Israel pada Rabu meneruskan rancangan untuk membina lebih 3,000 penempatan haram Yahudi di wilayah yang dijajahnya di Tebing Barat, Palestin.
Sehari sebelum rancangan itu diteruskan, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengkritik langkah bagi membina penempatan haram tersebut.
Jawatankuasa Perancangan Pihak Pentadbiran Sivil Israel memberikan kelulusan akhir untuk membina 1,800 unit kediaman dan memberikan sokongan awal ke atas pembinaan 1,344 unit kediaman lagi di Tebing Barat, kata seorang jurucakap untuk badan ketenteraan itu yang memantau hal ehwal awam wilayah Palestin kepada AFP.
Dalam pada itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam satu kenyataan menyatakan tentangan kerasnya terhadap kelulusan tersebut dan menyatakan AS perlu melaksanakan janjinya yang membantah langkah-langkah bagi membina penempatan haram berkenaan.
Kira-kira 475,000 penduduk Yahudi sudah pun tinggal di Tebing Barat namun berdasarkan undang-undang antarabangsa, mereka dianggap tinggal secara haram di tanah kepunyaan Palestin.
Dasar rejim Zionis untuk memperluaskan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis dilakukan selepas Israel memenangi Perang Enam Hari pada tahun 1967. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!