Singapura catat lebih 5,000 kes Covid-19 harian pada Rabu

Singapura melaporkan lebih 5,000 kes Covid-19 harian baharu pada Rabu, jumlah tertinggi direkodkan sejak ia mula dikesan tahun lalu.
Singapura melaporkan lebih 5,000 kes Covid-19 harian baharu pada Rabu, jumlah tertinggi direkodkan sejak ia mula dikesan tahun lalu.
A
A
A

SINGAPURA - Singapura melaporkan lebih 5,000 kes Covid-19 harian baharu pada Rabu, jumlah tertinggi direkodkan sejak ia mula dikesan tahun lalu.

Daripada 5,324 kes baharu, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu berkata, 4,651 kes adalah kes tempatan, 661 di asrama pekerja asing, dan 12 kes import.

“Kadar pertumbuhan jangkitan mingguan adalah 1.15,” kata kementerian itu dalam kemas kini data hariannya.

Kementerian berkata, jumlah jangkitan adalah luar biasa tinggi, kebanyakannya adalah kes positif yang dikesan oleh makmal ujian dalam tempoh beberapa jam pada petang Rabu.

“MOH sedang meneliti lonjakan kes yang luar biasa dalam tempoh yang agak singkat, dan memantau teliti arah alirannya untuk beberapa hari akan datang,” kata kenyataan itu.

Menurut kemas kini itu, 3,172 kes dibenarkan keluar dari hopital pada Rabu manakala 1,777 kes masih dirawat dengan 308 kes memerlukan bantuan oksigen di wad am, 76 pesakit tidak stabil dan berada di bawah pemantauan rapi di unit rawatan rapi (ICU), dan 66 kes kritikal dan diintubasi di ICU.

Sepanjang 28 hari lepas, daripada 90,203 individu yang dijangkiti, 98.7 peratus tidak bergejala atau mengalami simptom ringan, 0.9 peratus memerlukan bantuan oksigen di wad am, 0.1 peratus tidak stabil dan di bawah pemantauan rapi di unit rawatan rapi (ICU), 0.1 peratus sakit tenat dan diintubasi di ICU, dan 0.2 peratus meninggal dunia.

Kadar keseluruhan penggunaan ICU semasa adalah 79.8 peratus dan kementerian berkata "ia dalam proses untuk menyediakan lebih banyak katil ICU."

Artikel Berkaitan:

Sehingga 26 Oktober, 84 peratus penduduk Singapura telah melengkapkan vaksinasi penuh mereka atau menerima dua dos vaksin Covid-19, 85 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 14 peratus telah menerima dos penggalak.

Sehingga tengah hari Rabu, jumlah kes di negara itu adalah 184,419 dengan 349 kematian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!