Dua projek perumahan bakal dibangunkan di tanah wakaf MAIS

Abdul Aziz (dua dari kiri) melakukan gimik sewaktu Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Projek Perumahan Wakaf UME Impian dan UME Idaman, di Klang pada Khamis.
Abdul Aziz (dua dari kiri) melakukan gimik sewaktu Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Projek Perumahan Wakaf UME Impian dan UME Idaman, di Klang pada Khamis.
A
A
A

KLANG - Dua projek perumahan bakal dibangunkan di tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM28 juta secara keseluruhan.

Dua projek itu yang dikenali sebagai UME Impian dan UME Idaman akan dibangunkan di tanah Lot 2338 dan Lot 2788 Jalan Limau, Kapar, di sini dengan keluasan masing-masing sebanyak 1.21 hektar.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Jusoh berkata, pembinaan perumahan oleh Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menerusi anak syarikatnya, Urus Maju Ehsan (M) Sdn Bhd (UME) itu adalah menggunakan kaedah 'istibdal' yang telah mendapat kelulusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sejak 17 Oktober 2017 lalu.

"Kaedah 'istibdal' ini bermaksud sebelum kita bangunkan mana-mana tanah wakaf, kita akan gantikannya dengan tanah lain yang mana nilainya lebih tinggi.

"Tujuan kita menggunakan kaedah ini supaya mudah tanah wakaf ini dibangunkan untuk pelaksanaan projek perumahan dan sebagainya malah ia turut dibenarkan mengikut hukum," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Projek Perumahan Wakaf UME Impian dan UME Idaman, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, kedua-dua projek perumahan itu masing-masing membabitkan pembinaan 37 unit rumah kediaman dan ditawarkan bermula pada harga RM380,000 sehingga RM480,000.

Beliau berkata, keluasan rumah terlibat adalah berbeza mengikut jenis dan kategori.

"Semoga pelaksanaan projek ini dapat memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk memiliki rumah dengan harga berpatutan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, dalam usaha memperkasakan ekonomi wakaf dan ummah di Selangor, PWS menerusi UME telah menjalankan kajian awalan berhubung kesesuaian pembangunan (feasibility study) atas beberapa tanah lot wakaf yang berpotensi dibangunkan di negeri ini.

"Anggaran keluasan tanah wakaf terlibat adalah sekitar 14.97 hektar (37 ekar) dengan nilai GDV sekitar RM182 juta," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!