Majlis penasihat cari mekanisme kerjasama hospital awam, swasta

 Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly
A
A
A

PETALING JAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Majlis Penasihat Kesihatan sedang mencari mekanisme terbaik bagi mewujudkan kerjasama yang berkesan dan berterusan antara hospital awam dan swasta.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kerjasama itu bagi membolehkan masalah kesesakan pesakit di hospital awam dapat ditampung oleh hospital swasta.

“Masalah yang dihadapi kini adalah kami (hospital awam) mengambil kira-kira 60 hingga 70 peratus pesakit sementara kapasiti dan fasiliti yang ada hanyalah 40 ke 50 peratus. Sebaliknya di pihak swasta , berlaku ‘over capacity’ yang mana mereka mempunyai 60 peratus kapasiti dan fasiliti tetapi hanya mengendalikan 40 peratus pesakit.

“Keadaan ini dapat kita perbaiki andai dapat diwujudkan kerjasama yang baik dan berterusan (antara hospital awam dan swasta),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Til Eleven Morning Insights’, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata Majlis Penasihat Kesihatan yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Abu Bakar Suleiman dijangka dilancarkan secara rasmi dalam tempoh sebulan lagi.

Majlis itu yang ditubuhkan awal tahun ini turut dianggotai oleh tujuh pakar termasuk seorang pakar ekonomi.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata Institut Jantung Negara (IJN) tetap diletakkan di bawah Kementerian Kewangan walaupun terdapat beberapa pihak yang mencadangkan institut itu diletakkan di bawah KKM.

“Perkara ini juga telah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet tetapi buat masa ini ia masih lagi ‘a corporatise entity’ dan diletakkan di bawah MOF (Kementerian Kewangan).

Artikel Berkaitan:

“Ia boleh kita ambil kira (cadangan letakkan IJN di bawah KKM) but for the time being it is a status quo (tetapi buat masa sekarang ia dalam status quo,” katanya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!