Lebih 20,000 permohonan paten teknologi direkod sehingga September

Dr Adham Baba - Foto Bernama
Dr Adham Baba - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 20,422 permohonan paten berkaitan teknologi direkodkan sejak tahun 2019 hingga September tahun ini dengan 18,609 daripadanya diberikan paten, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata, pemberian paten yang tertinggi adalah dalam bidang teknologi kimia dan logam, keperluan manusia serta pelaksanaan operasi dan pengangkutan.

“Malaysia sedang giat dalam pembangunan teknologi baharu dan telah menghasilkan banyak paten teknologi yang berpotensi untuk pasaran perniagaan serantau serta antarabangsa," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) mengenai bidang baharu penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara yang mempunyai kelebihan dalam penemuan teknologi dan jumlah paten yang didaftar.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata, selaras Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kementerian berkenaan akan memberi tumpuan dalam aspek pembiayaan R&D dalam usaha Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang tahun 2030.

Ia antaranya meliputi kecerdasan buatan, keselamatan siber, data analitik, teknologi neuro, teknologi nano dan robotik. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!