Lelaki warga Myanmar didakwa bunuh rakan senegara

Maung Thain Khain (tengah) diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Jelebu pada Khamis untuk didakwa membunuh rakan senegaranya.
Maung Thain Khain (tengah) diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Jelebu pada Khamis untuk didakwa membunuh rakan senegaranya.
A
A
A

JELEBU - Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya hampir dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Maung Thain Khain, 40, selepas dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

Mengikut pertuduhan, Thain Khain didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kematian Moe Naing di sebuah kilang di Taman Industri Mahsan, Bandar Seri Jempol di sini antara jam 10.04 malam, 16 Oktober hingga jam 3.30 pagi, 17 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa telah memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.

Perbuatan itu dilakukan pada 17 Oktober lalu, kira-kira jam 6.30 petang, di sebuah kilang di Perindustrian Mahsan Bahau.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) (Pindaan 2002) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali serta enam kali sebatan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwaan, Inspektor Zuria Anis Mahassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 10 November ini dengan kehadiran jurubahasa.

Pada 17 Oktober lepas, Sinar Harian melaporkan, seorang lelaki warga Myanmar maut selepas dipercayai ditikam ketika mabuk bersama tiga rakan senegaranya dalam kejadian di sebuah kilang di Mahsan pada awal pagi Ahad.

Pada kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Moe Naing, 36, dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat ditikam pada beberapa bahagian badan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!