JBPM kenal pasti lokasi baharu berisiko banjir

Keadaan banjir di Maran, Pahang pada Januari lalu. - Foto fail Bernama
Keadaan banjir di Maran, Pahang pada Januari lalu. - Foto fail Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang mengenal pasti lokasi bukan banjir yang berisiko dinaiki air di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, langkah itu sebagai persediaan JBPM mengatur anggota dan logistik bagi memastikan operasi menyelamat dapat dilakukan dengan pantas dan berkesan.

Menurutnya, JBPM sedang kenal pasti kawasan yang bukan tempat banjir tetapi berisiko dinaiki air dan berlaku banjir luar biasa seperti yang berlaku tahun lalu di Maran dan Kuala Lipis di Pahang dan Kota Tinggi.

"Maran dan Kuala Lipis sudah lebih 20 tahun tidak berlaku banjir besar, namun tahun lalu banjir di kawasan itu sangat luar biasa. Begitu juga banjir di Kota Tinggi, dengan beberapa kawasan yang sebelum ini hanya banjir biasa, namun tahun lalu ia menjadi luar biasa.

"Selain itu, banjir kilat di Melaka pada minggu lalu juga berlaku bukan di kawasan 'hotspot' banjir, namun bertukar menjadi berbahaya dengan arus deras sehingga mengorbankan anggota JBPM Melaka, Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh di Kampung Sungai Putat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Johor di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis dan Timbalannya, Pauzan Ahmad.

Mohammad Hamdan (tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Johor di sini pada Khamis.
Mohammad Hamdan (tengah) pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Johor di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohammad Hamdan, JBPM telah bersedia sepenuhnya dari segi anggota dan aset logistik untuk berdepan musim tengkujuh berikutan peralihan monsun Timur Laut.

"JBPM mempunyai 550 bot penyelamat, 800 lori pelbagai saiz dan pacuan empat roda serta lima helikopter.

"Unit Dron JBPM juga diarahkan sentiasa membuat pemantauan sama ada di kawasan 'hotspot' banjir serta lokasi bukan lazim supaya insiden banjir besar 2014 yang berlaku di Kuala Krai, Kelantan tidak berulang," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan negara akan mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada petang dan awal malam ketika fasa peralihan monsun bermula hujung September hingga pertengahan atau hujung Oktober ini.

Selain itu, MetMalaysia turut menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku sepanjang Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang akan bermula pada awal November ini hingga Mac tahun hadapan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!