Audit: Permohonan bantuan selenggara sekolah perlu melalui JPN
KUALA LUMPUR - Penyaluran dan penggunaan sumbangan bantuan penyelenggaraan kepada Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) perlu melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Jabatan Pendidikan Daerah (JPD) dan tidak boleh dikemukakan secara terus oleh pihak sekolah bagi memastikan penilaian teknikal dan kos munasabah.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2020, permohonan pada tahun tersebut tidak dibuat melalui JPN bertujuan untuk mempercepatkan proses kelulusan dan penyaluran sumbangan bantuan yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan kerana kos perolehan melebihi kos yang sepatutnya.
"Semakan Audit terhadap 43 sampel mendapati kesemua permohonan sumbangan bantuan penyelenggaraan yang dikemukakan oleh sekolah tidak melalui JPN dan proses penilaian teknikal tidak dilaksanakan oleh JPN.
"Penilaian teknikal dan kajian pasaran tidak dibuat menyebabkan berlaku perbezaan harga berjumlah RM1.25 juta antara harga perolehan berbanding anggaran harga semasa," menurut laporan yang dikeluarkan pada Khamis.
Selain itu, laporan itu juga mendapati sejumlah RM130,000 dibayar bagi kerja yang tidak dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kampung Baru, RM390,000 bagi skop kerja yang tidak diluluskan di tiga SBK serta sejumlah RM410,000 bagi kerja yang tidak sempurna atau tidak menepati spesifikasi di dua SBK.
Laporan itu turut mengesyorkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyemak dengan teliti permohonan bagi memastikan hanya skop kerja penyelenggaraan yang dibenarkan dalam garis panduan yang boleh diluluskan selain mendapat kelulusan khas Bahagian Pengurusan Aset KPM.
Syor lain termasuk menambah baik garis panduan sedia ada dan meningkatkan pemahaman pegawai yang terlibat dan pihak berkepentingan bagi menjamin pengurusan sumbangan yang lebih teratur bagi memudahkan pemantauan dan mendapatkan nilai terbaik.
Audit juga mengesyorkan agar KPM memastikan mekanisme pemantauan yang ditetapkan, dikemukakan oleh pihak sekolah bagi tujuan penilaian berterusan terhadap pelaksanaan projek. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!