'Kerusi Tambun untuk Anwar'

Muhamad Arafat berucap Majlis Sesi Dialog Bersama Para Peniaga dan Penjaja Kecil Pasar Awam Tanjung Rambutan, di sini pada Khamis.(Gambar kecil: Anwar)
Muhamad Arafat berucap Majlis Sesi Dialog Bersama Para Peniaga dan Penjaja Kecil Pasar Awam Tanjung Rambutan, di sini pada Khamis.(Gambar kecil: Anwar)
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Tambun mahu memberi laluan kepada Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua PKR Cabang Tambun, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, keputusan itu telah dipersetujui di peringkat akar umbi menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Cabang sebelum ini.

Bagaimanapun menurutnya, sebarang keputusan muktamad masih bergantung kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menentukan kedudukan kerusi milik komponen.

"Kita menganggap kerusi ini sebagai milik PKR memandangkan sebelum diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14, memang PKR bertanding di sini.

"Selaku ketua cabang, kita pelawa Datuk Seri Anwar bertanding di kerusi Parlimen Tambun. Kita lihat sebelum ini di Pulau Pinang menang, begitu juga di Parlimen Port Dickson. Apabila bertemu dengan Presiden, saya sendiri telah maklumkan hasrat ini," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Sesi Dialog Bersama Para Peniaga dan Penjaja Kecil Pasar Awam Tanjung Rambutan di sini pada Khamis.

Muhamad Arafat berkata, kerusi Parlimen Tambun perlu diletakkan calon yang terbukti berwibawa serta mempunyai prinsip kerana pengundi tidak mahu lagi dikhianati.

Menurutnya, ketika ini pelbagai pihak menyatakan hasrat mereka untuk bertanding di kerusi tersebut, namun calon yang diletakkan perlu yakin memenangi kerusi tersebut.

Jelasnya, suara majoriti akar umbi perlu menjadi keutamaan oleh Majlis Presiden PH dalam menentukan parti mana yang akan bertanding di kerusi yang menjadi rebutan.

Artikel Berkaitan:

"Cubaan untuk mendapatkan kerusi itu biasa dalam politik. Kita bertanding untuk menang. Kita boleh bagi hujah masing-masing namun bergantung kepada siapa boleh menang.

"Kriteria calon paling penting. Kalau tak letak kriteria, orang akan marah tak nak mengundi, sebab itu kita cadangkan Anwar," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta.

Untuk rekod, kerusi Parlimen Tambun ini disandang Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!