Bakal pemimpin U-18 perlu lontar idea segar, bernas

Ahmad Faizal (dua dari kiri) pada program wacana Kompas Rasuah Busters bertajuk 'U-18: Tanggungjawab Atau Liabiliti' pada Rabu.
Ahmad Faizal (dua dari kiri) pada program wacana Kompas Rasuah Busters bertajuk 'U-18: Tanggungjawab Atau Liabiliti' pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Penglibatan golongan Undi 18 atau U-18 dalam kancah politik negara merupakan satu pembaharuan lankskap kepimpinan negara yang seharusnya diraikan semua pihak.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penglibatan belia seawal usia 18 tahun dalam dunia politik negara adalah satu perkara baharu yang belum pernah ditempuhi sebelum ini dan ia satu revolusi terhadap sistem kepimpinan negara yang memerlukan idea bernas serta segar daripada golongan tersebut.

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu

Menurutnya, cetusan idea-idea baharu daripada golongan U-18 terutama bakal pemimpin muda bakal mencorakkan Malaysia yang lebih dinamik pada masa hadapan.

Untuk itu katanya, kumpulan undi baharu seawal usia 18 tahun ini perlu diberi kefahaman sebenar mengenai dunia politik, selain mempunyai sifat tanggungjawab sebagai pengundi serta pemimpin negara.

"Saya raikan kumpulan Undi 18 dalam dunia politik negara. Maka akan ada kemungkinan Yang Berhormat (YB) datang daripada kumpulan ini untuk angkat sumpah sebagai ahli Parlimen.

"Sejujurnya saya suka untuk dapat bersama dengan generasi baharu ini di Dewan Rakyat bagi mengutarakan idea-idea bernas dan segar," katanya pada program wacana Kompas Rasuah Busters bertajuk 'U-18: Tanggungjawab Atau Liabiliti' pada Rabu.

Turut serta menjadi panelis ialah Ketua Pejuanita Muda Parti Pejuang, Dr Nurul Ashikin Mabahwi dan Pengarah Advokasi dan Pengasas Bersama Undi 18, Tharma Pillai; manakala Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy bertindak sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, menjadi satu kewajipan buat semua pihak membimbing golongan baharu tersebut menempuh asam garam politik negara.

Katanya, golongan U-18 perlu diberi kefahaman jelas, bukan sahaja proses melibatkan proses pengundian dalam pilihan raya umum (PRU), malah tanggungjawab dan hak sebagai pengundi.

Jelasnya, perkara itu penting dalam memastikan golongan tersebut bertanggungjawab ke atas pemilihan pemimpin yang telah dilakukan pada PRU atau Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Kita semua pastinya mahu melihat hak yang diberikan kepada U-18 ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya dan penuh rasa tanggungjawab.

"Untuk itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menjalankan pelbagai program dan kursus bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk anak muda memahami proses amalan demokrasi di negara ini.

"Apa yang penting, anak muda tahu tanggungjawab mereka sebagai pengundi dan faham yang mereka telah diberikan hak mengundi. Maka gunakan dengan sebaiknya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!