Bekas Ahli Dewan Negara dinobatkan Tokoh Guru Terengganu 2021
KUALA TERENGGANU - Bekas Ahli Dewan Negara yang berpengalaman berkhidmat sebagai guru selama 33 tahun dinobatkan sebagai Tokoh Guru Terengganu 2021.
Engku Naimah Engku Taib, 64, menerima anugerah disampaikan Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini pada Khamis.
Menurut Engku Naimah, pengiktirafan itu merupakan anugerah tertinggi pernah diterima setelah lapan tahun meninggalkan kerjaya itu selepas bersara.
"Penghargaan diterima hari ini adalah anugerah paling bermakna sepanjang saya berkecimpung dalam bidang ini.
"Saya merakam penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak termasuk Jabatan Pendidikan negeri dan Pejabat Pendidikan Besut," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.
Dalam pada itu, Engku Naimah berkata, tugasan sebagai guru memiliki cabaran tersendiri terutama dalam mengubah minda murid agar terus berusaha ke hadapan dan merubah masa depan.
Pesara guru dari Besut yang menjawat jawatan terakhir sebagai guru besar itu merupakan lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris sebelum memulakan kerjaya di Sekolah Kebangsaan (SK) Kerandang, Besut pada 1980 dan berakhir di SK Pusat Jertih pada 2013.
Tokoh Guru Terengganu 2021 itu menerima wang tunai RM5,000 selain selempang, pingat, persalinan telekung, jam tangan, tafsir al-Quran, plak dan sijil penghargaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!