Yeop yakin baki tiga import mampu beri impak

Shahril Nizam -Foto: Perak FC
Shahril Nizam -Foto: Perak FC
A
A
A

PENOLONG Ketua Jurulatih Perak FC, Shahril Nizam Khalil menyifatkan ketiadaan empat pemain import yang ditamatkan kontrak untuk baki saingan Piala Malaysia musim ini tidak akan memberi impak negatif kepada pasukan sebaliknya percaya kepada kudrat pemain muda tempatan lain.

Pemain Lubnan, Samir Ayass, Zoubairou Garba (Indonesia), Ghislain Guessan (France), dan penyerang Ghana, Nana Poku ditamatkan kontrak pada pertengahan bulan ini dan hanya tiga import sahaja yang ada ketika ini iaitu Jad Noureddine (Lubnan) manakala Charlie Machell (England), dan Sergio Aguero (Argentina) dari Perak FC II.

Namun, selepas melakukan penilaian dalam tiga aksi persahabatan tempoh hari, Shahril berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan oleh anak buahnya sekali gus membuktikan barisan pemain sedia ada ketika ini mampu memberikan persembahan lebih baik berbanding dua perlawanan awal peringkat kumpulan, bulan lalu.

“Sekarang ini memang tinggal tiga pemain import sahaja dan untuk itu, saya ada melakukan beberapa perubahan dari segi posisi dan taktikal, jadi harapnya apa jua perancangan yang saya lakukan, pemain dapat memberikan komitmen yang terbaik.

“Walaupun kita sudah tiada empat import, tetapi saya lihat daripada sudut positif di mana sekarang baru saya nampak pemain-pemain muda tempatan yang lain menunjukkan komitmen yang sihat untuk bersaing merebut tempat ketika ini.

“Apatah lagi dalam tiga perlawanan persahabatan sebelum ini, mereka melakukan tugas yang cukup baik apabila kita berjaya meraih satu kemenangan dan dua keputusan seri, dan daripada situ baru saya dapat menilai dengan baik pemain mana yang akan diturunkan dalam aksi sebenar nanti”, jelasnya.

Dalam pada itu, Shahril menegaskan aksi berdepan Terengganu FC pada Sabtu ini cukup penting apabila pasukan masih gagal mencari kemenangan selepas dua perlawanan.

Walaupun skuad kendalian Nafuzi Zain dilihat menjadi pasukan pilihan, beliau enggan barisan pemain terlalu merasa rendah diri kerana setiap pasukan mempunyai kekuatan tersendiri untuk melakukan kejutan.

Artikel Berkaitan:

“Lawan Terengganu memang bukan mudah tambahan pula mereka dah konsisten dengan dua kemenangan, tetapi kita masih belum menang lagi, jadi memang mereka akan menjadi pasukan pilihan.

“Tetapi, kita kena ambil kesempatan apabila bermain di laman sendiri Sabtu ini. apatah lagi dengan penonton juga sudah dapat hadir ke stadium untuk pemain-pemain lebih bersemangat memberikan persembahan terbaik nanti.

“Setakat ini kecergasan semua pemain di tahap memuaskan, bahkan Noureddine, Machell dan Aguero juga sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan sebelum ini, dan untuk penjaga gol sekarang kita harapkan Hafizul Hakim sepenuhnya selepas Azri Ghani bersama skuad Bawah-22 tahun ketika ini”, tambahnya.

Empat perlawanan akan berlangsung pada Sabtu ini menyaksikan Kuala Lumpur City FC akan menentang Sarawak United FC, Selangor FC berdepan Kuching City FC manakala Sri Pahang FC pula akan menerima kunjungan Penang FC.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!