ASEAN labuhkan tirai sidang kemuncak dengan tekad bangkit lebih gagah

Ismail Sabri (bawah, kanan) melambaikan tangan pada majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan secara persidangan video yang dipengerusikan oleh negara Brunei di sini hari. -Foto Bernama
Ismail Sabri (bawah, kanan) melambaikan tangan pada majlis penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan secara persidangan video yang dipengerusikan oleh negara Brunei di sini hari. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan melabuhkan tirainya pada Khamis menyaksikan negara anggota bertekad untuk kembali bangkit lebih gagah menentang pandemik Covid-19.

Sidang yang dipengerusikan Brunei sejak Selasa, pelbagai siri mesyuarat memperlihatkan para pemimpin ASEAN memanfaatkan platform berkenaan untuk menyatakan kebimbangan terhadap isu berkaitan pandemik Covid-19.

Pemimpin ASEAN juga menyuarakan mengenai kesan buruk pandemik terhadap masyarakat dan ekonomi di rantau ini dan meneroka kerangka kerja pemulihan yang merangkumi pembukaan sempadan untuk perjalanan dan pelancongan.

Peserta mesyuarat juga mengakui perlunya usaha berterusan seluruh kerajaan negara anggota serta pendekatan keseluruhan komuniti oleh kumpulan serantau itu dalam memajukan usaha kolektif untuk tindak balas Covid-19 dan pemulihan yang cepat serta mampan.

Para pemimpin juga turut mengesahkan komitmen untuk memperkukuh perkongsian dalam mengemudi blok itu ke arah pemulihan pasca Covid-19 dan menjadi lebih kuat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 pada Selasa menggesa ASEAN meningkatkan kerjasama dengan negara yang mempunyai pemikiran sama dan pertubuhan antarabangsa yang relevan.

Beliau berkata, ini penting ke arah memastikan vaksin pada harga mampu milik, mudah diperoleh selain dikongsi secara saksama di samping mengutamakan diplomasi kesihatan menerusi kolaborasi lebih meluas.

Dalam menuju ke arah pemulihan pasca pandemik, beliau berkata, adalah mustahak untuk kumpulan serantau itu menumpukan kepada pelaksanaan sepenuhnya Kerangka Kerja Pelan Pemulihan Komprehensif ASEAN dan operasi Kerangka Kerja Pengaturan Koridor Perjalanan ASEAN.

Artikel Berkaitan:

Selepas sidang kemuncak berakhir, Ismail Sabri menerusi Twitter menyatakan, adalah suatu penghormatan dan kebanggaan dapat menyertai sidang kemuncak yang melakar sejarah ASEAN, Ia adalah mesyuarat ASEAN pertama Ismail Sabri sebagai perdana menteri sejak dilantik pada Ogos lalu.

Sementara itu, sebagai sebahagian usaha pemulihan ekonomi, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pula berkata, ASEAN perlu membuka semula sempadan negara dan membenarkan perjalanan yang selamat di rantau ini.

“Kerangka Kerja Pengaturan Koridor Perjalanan ASEAN (ATCAF) harus digunakan dengan pengiktirafan bersama vaksin dan sijil vaksin untuk memudahkan perjalanan perniagaan kemudian diikuti pelancongan,” katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39.

Sebahagian anggota juga berminat untuk meratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang mereka percaya dapat membantu dalam pemulihan daripada pandemik.

Sementara itu, beberapa pemimpin turut mengetengahkan masalah dan isu Myanmar yang berkaitan Laut China Selatan tetapi ia tidak dibincangkan secara mendalam.

Selain itu, sidang kemuncak tahun ini diadakan tanpa perwakilan dari Myanmar selepas menteri-menteri luar blok serantau mengambil langkah berani mengecualikan ketua junta Min Aung Hlaing daripada menghadiri mesyuarat berikutan kegagalannya mematuhi Konsensus Lima Perkara ASEAN yang disepakati pada Mesyuarat Pemimpin ASEAN, 24 April lepas.

Pihak junta kemudiannya bertindak tidak menghantar wakil bukan politik ke Sidang Kemuncak itu.

Dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) ke-9, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menyuarakan kekecewaannya dengan kurangnya kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara ASEAN

“Kami menggesa tentera Myanmar untuk beri kerjasama sepenuhnya dengan Duta Khas ASEAN dan melaksanakan Konsensus Lima Perkara itu.

“Kami juga menyeru supaya semua tahanan politik dibebaskan segera, termasuk Presiden Win Myint, Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, dan rakyat AS Danny Fenster,” kata Hsien Loong.

Mengenai Laut China Selatan, para pemimpin mahukan rumusan Kod Tatalaku dimuktamadkan segera.

Sorotan utama lain Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini ialah penyertaan Presiden AS, Joe Biden dalam Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-9 pada Selasa dan di Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-6 pada Rabu.

Penyertaan beliau sekali gus menyaksikan Presiden AS kembali kepada mesyuarat ASEAN selepas empat tahun tidak menyertainya. Kali terakhir adalah ketika bekas Presiden Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN 2017 di Filipina.

Dalam ucapan sulungnya di Sidang Kemuncak, Biden berkata, hubungan antara AS dan ASEAN adalah penting untuk masa depan satu bilion penduduk, dan AS komited kepada pemusatan ASEAN.

Beliau juga telah menyatakan komitmen AS sebanyak AS$100 juta untuk inisiatif meningkatkan kerjasama dengan blok serantau 10 anggota itu.

Pada mesyuarat tiga hari bertemakan 'We Care, We Prepare, We Prosper', pemimpin ASEAN juga telah mengadakan siri pertemuan dengan rakan dialog iaitu Australia, China, India, Jepun, Rusia, Korea Selatan dan AS.

Ini adalah tahun kedua sidang kemuncak serantau itu diadakan secara maya disebabkan pandemik Covid-19.

Kemboja akan mengisi kerusi penggiliran Pengerusi ASEAN pada 2022. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!