UMNO akan kemuka rayuan kepada KKM kurangkan kompaun
KUALA LUMPUR - UMNO akan mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar kompaun yang dikenakan ke atas Barisan Nasional (BN) berjumlah RM10,000 dapat dikurangkan.
Ia susulan parti itu dikatakan telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mengadakan majlis jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di World Trade Centre di sini, pada Rabu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya berpendapat apabila KKM mengeluarkan kenyataan mengenai SOP terbaru, ia ditujukan pada aktiviti kempen dalam negeri Melaka.
“Kami bukan sengaja untuk melanggar apa-apa SOP yang ditetapkan, itu sebab malam semalam (Rabu) kita mengadakan pelancaran bukan hanya menggunakan satu dewan, tetapi dua dewan.
“Apa yang berlaku dalam kedua-dua dewan itu mengikut SOP ditetapkan. Mungkin tidak 100 peratus kita mengawal pergerakan di luar, jadi kita akan membayar kompaun tetapi merayu agar kompaun itu boleh dikurangkan,” katanya kepada pemberita selepas selesai Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato Onn, di sini pada Khamis.
Pada Khamis, Pejabat Kesihatan Kepong mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada BN kerana melanggar SOP Fasa Empat PPN.
KKM menerusi perkongsian dalam platform media sosialnya memaklumkan, kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dikeluarkan kepada BN susulan penganjuran majlis sosial di WTCKL para Rabu malam.
Sementara itu, Ahmad berkata, pihaknya turut berharap agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kelonggaran kepada parti politik untuk berkempen secara rumah ke rumah dalam bilangan peserta yang terhad bagi PRN Melaka.
“Kita harap mereka juga benarkan bilik gerakan beroperasi dengan kehadiran individu yang terhad kerana mereka ini akan membantu jentera parti mengedarkan sebarang hebahan.
“Ia bukan bermaksud UMNO-BN tidak cakna ataupun tidak prihatin tentang kesihatan rakyat, kita amat prihatin tentang perkara itu,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!