Proses arak tiruan dalam stor
BUKIT MERTAJAM- Kegiatan memproses samsu tiruan di sebuah bilik stor sebuah kediaman terbongkar selepas Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menyerbu sebuah kedai runcit dalam 'Op Methanol' di Taman Pulasan, Bukit Minyak, Bukit Mertajam pada Khamis.
Ketua Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), JKNPP, Mohd Wazir Khalid berkata serbuan jam 8 malam itu mendapati kedai runcit berkenaan menjual arak tiruan kepada warga asing di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT).
Pemeriksaan lanjut kemudian mendapati pemilik premis memproses bahan terlarang berkenaan di sebuah bilik stor di rumah flat berdekatan dengan kedai runcit terbabit.
Menurut Mohd Wazir, serbuan dilakukan hasil risikan awal pihaknya selama sebulan selepas mendapat aduan mengenai kegiatan menjual arak tiruan khususnya kepada warga asing di kawasan tersebut.
Beliau berkata, serbuan juga dilakukan selepas terdapat laporan melibatkan keracunan dan kematian dalam kalangan warga asing selepas minum arak tiruan berkenaan.
"Pemeriksaan kita menjumpai satu bilik stor kecil yang digunakan untuk proses tuak tersebut, dengan pemeriksaan kita dapat tafsirkan premis jualan dan kediaman adalah mempunyai kronologi sama iaitu diuruskan oleh isteri kepada tuan premis tersebut.
"Kita buat rampasan sebuah botol 5 liter dan ambil sample metanol bagi menentukan sama ada ia mengandungi mentanol serta minuman ini sebabkan keracunan dalam kalangan warga asing atau tidak," katanya.
Mohd Wazir berkata, semasa pemeriksaan terdapat seorang wanita warga asing dipercayai isteri pemilik premis berkenaan dan dia enggan memberi kerjasama serta mengaku tidak menjual mahupun memproses bahan terlarang tersebut.
Bagaimanapun pemeriksaan lanjut menemui tempat memproses bahan tersebut di bilik stor di rumah berdekatan dengan kedai runcit tersebut.
"Seperti kita lihat dia pada awalnya tidak beri kerjasama. Pemeriksaan mendapati sebuah bilik untuk proses samsu tersebut," katanya lagi.
Susulan itu, pihaknya merampas sebotol cecair disyaki samsu yang mengandungi metanol dan bahan itu akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut.
Mohd Wazir berkata, berikutan kesalahan tersebut, pihaknya telah mengeluarkan dua kompaun berjumlah lebih RM6,000 atas dua kesalahan iaitu menjual tanpa label dan memproses minuman keras tanpa kebenaran.
Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, semasa serbuan terdapat tiga kanak-kanak berada di rumah terbabit.
Berikutan itu pihaknya akan merujuk perkara tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.
Ia kerana mereka tidak sepatutnya membesar dalam kediaman berkenaan memandangkan persekitaran kurang baik. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!