Harapan rakyat pada Bajet 2022
MENJELANG beberapa jam lagi sebelum pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pastinya membuatkan jantung 32.7 juta rakyat negara ini kian berdetak kencang.
Pastinya, rakyat yang terkesan akibat Covid-19 menaruh harapan menggunung pada bajet kali ini agar dapat terus membantu mereka mengharungi fasa endemik Covid-19.
Hampir dua tahun bergelut dengan pandemik Covid-19 ia bukan satu tempoh yang mudah. Ternyata, ia menjadi sisi hitam dalam sejarah lipatan hidup bukan sahaja kepada rakyat Malaysia, bahkan masyarakat dunia secara keseluruhannya.
Lantas untuk bangkit semula, rakyat sememangnya memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan dalam Bajet 2022.
Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu bahawa kerajaan akan meneruskan pemberian bantuan langsung secara tunai dalam Bajet 2022 disambut gembira majoriti rakyat.
"Bajet yang lepas banyak insentif dan sumbangan diberikan langsung kepada rakyat secara tunai dan sebagainya, jadi perkara yang sama kita akan teruskan.
"Seperti saya kata tadi, walaupun pandemik akan berakhir, saya difahamkan banyak tabung dalam bank dan sebagainya sudah tiada simpanan lagi," kata Ismail Sabri.
Apa yang dikatakan Perdana Menteri itu adalah realiti sebenar dan hakikat menyedihkan yang dihadapi kebanyakan rakyat ketika ini.
Bak kata orang, bukit kalau ditarah setiap hari pun akan rata, inikan pula wang simpanan.
Ketika wang tabungan kian susut, bantuan tunai yang diberikan kerajaan dapat terus membantu ketua isi rumah untuk pastikan mereka masih mampu menyediakan makanan di atas meja.
Bantuan tunai itu ibarat talian hayat kepada mereka lebih-lebih lagi bagi pasangan suami isteri isteri yang memiliki ramai anak yang masih kecil.
Bahkan, pemberian bantuan 'one-off' sebelum ini seperti Bantuan Prihatian Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Khas Covid (BKC) cukup melegakan penerima.
Kepada orang miskin, setiap ringgit yang diterima itu besar nilainya kerana boleh digunakan untuk membeli pelbagai keperluan seperti beras, minyak masak, gula dan susu.
Justeru itu, Bajet 2022 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada jam 4 petang nanti disifatkan sebagai pelangi selepas hujan.
Pelangi itu akan terus memberi kegembiraan kepada rakyat untuk pulih semula selepas dilanda 'ribut taufan' yang tidak pernah kita duga sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!