Pengayuh beca, pemandu kereta sewa dirai
![Abdul Wahabi (kiri) menyampaikan sumbangan berkenaan kepada salah seorang penerima di Dataran Muhammadi di sini.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/10/29/1251365.jpg)
KOTA BHARU – Seramai 18 orang pengayuh beca dari Persatuan Penarik Beca di sekitar bandar Kota Bharu diraikan dengan pemberian bakul makanan dan beras oleh Jabatan Kastam Malaysia.
Bakul makanan dan dua kampit beras yang diberikan kepada setiap pengayuh berkenaan adalah salah satu initipati program tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi itu dalam membantu mereka yang memerlukan.
Salah seorang penerima, Che Udi Che Pa, 67, memberitahu, pihaknya sangat menghargai pemberian sumbangan daripada agensi tersebut kerana walaupun rentas negeri sudah dibenarkan, pelanggan mereka masih lagi berkurangan.
Menurut beliau, dengan adanya bantuan seperti itu, sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan kerana rata-rata kalangan mereka adalah ketua keluarga walaupun bergelar warga emas.
“Kami masih ada tanggungan, ada yang jaga anak dan cucu, jadi dengan bantuan seperti inilah sekurang-kurangnya boleh ringankan sikit bebanan kami. Insya-ALLAH rezeki itu ada di mana-mana, semoga usaha yang dilakukan pihak Kastam ini akan berterusan untuk masa akan datang,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Sebelum itu, Che Udi dan rakan-rakan menyambut ketibaan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Abdul Wahabi Abdullah di Dataran Muhammadi di sini.
Selain itu, Jabatan Kastam Malaysia juga turut menyampaikan 45 bakul makanan dan kampit beras kepada pemandu-pemandu kereta sewa di sekitar bandar Kota Bharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!