Perkasa desak kuota menteri berketurunan India dikaji semula
Gesaan ini dibangkitkan presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali susulan tindakan dan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy yang disifatkan populis dan terlalu mencari publisiti berhubung kenyataan berkaitan insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya baru-baru ini.
"Saya tak sangka dan terkejut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang saya kenal sebagai pemimpin yang tegas dalam semua perkara apabila melantik Moorthy menjadi senator dan menteri.
"Kenyataan yang dibuat beliau dilihat mencemar nama negara terutama dalam kenyataan-kenyataanya berhubung isu kuil yang dilihat terlalu populis dan mencari publisiti kononnya nak jadi hero masyarakat India.
"Saya juga mendesak Perdana Menteri secara terbuka supaya mengkaji semula kuota menteri Kabinet yang mewakili kaum India. Sekarang ini ada empat menteri dan seorang timbalan menteri, jadi lima. Dulu seorang menteri dan dua timbalan paling ramai pun dua menteri sedangkan penduduk kaum India hanya tujuh peratus, takkan sampai empat orang? Ramai lagi pemimpin lain dalam PH," katanya ketika sidang media selepas Himpunan Jihad Perkasa yang dihadiri 100 orang di Jalan Raja Alang, di sini hari ini.
Tambahnya, jika Dr Mahathir menyatakan Moorthy telah berubah menjadi baik daripada dulu, Ibrahim juga mendakwa beliau sendiri juga sudah berubah sekarang.
"Kalau orang Melayu diserang dan dihina bahkan raja-raja Melayu diperkotak-katikkan saya juga berubah sifat dan tindak-tanduk.
"Himpunan Perkasa ini bukan lagi langkah rasmi tetapi ia sebagai peringatan supaya Moorthy digugurkan daripada Kabinet dan saya desak kuota menteri India dikaji semula.
"Dua (menteri) campur seorang timbalan menteri sudah memadai dengan jumlah tujuh peratus kaum India di Malaysia," ujarnya.
Sebelum ini kerajaan baharu PH menetapkan komposisi PKR tujuh, DAP enam, Bersatu enam, Amanah lima, Warisan tiga dan Hindraf satu untuk pembahagian menterinya.
Sementara itu, Ibrahim ketika ditanya mengenai seruannya yang mengatakan Perkasa akan mengamuk di seluruh negara.
Beliau berkata, mengamuk yang dimaksudkan ialah himpunan jihad atau perjuangan.
"Mengamuk bererti orang Melayu tidak akan duduk diam dan terus bersuara untuk membuat pelbagai tuntutan dan desakan melalui himpunan.
"Jangan tafsir mengamuk dalam konteks yang dangkal, kita akan ambil tindakan. Jangan buat kita hilang sabar. Ini kita baru buat kenyataan belum buat lagi dengan harapan desakan ini memberi kesedaran kepada pihak bertangggungjawab," tegasnya.
Dalam himpunan hari ini, ahli Perkasa seluruh negara turut membawa sepanduk dengan tulisan bumi ini milik Melayu, jangan dipijak orang, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung dan lucut segera kerakyatan P Waytha Moorthy usir dari bumi Melayu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!