PRN Melaka: PH selesai agih kerusi
MELAKA - [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan (PH) hari ini mengumumkan gabungan berkenaan telah selesai mengagihkan kerusi ditandingi komponennya dan sepakat menggunakan logo PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 11 kerusi, Parti Amanah Negara (Amanah), sembilan dan DAP, lapan kerusi.
”Pembahagian kerusi dalam amalan politik bersama parti-parti ini, satu proses yang panjang, dari peringkat DUN ke peringkat negeri dan negeri diberikan ruang yang panjang untuk berbahas dan memuktamadkan. Selepas itu barulah dikemukakan ke jawatankuasa khas mewakili pimpinan parti sebelum dibawa ke Majlis Presiden.
"Setakat ini keputusan kita DAP kekal lapan, Amanah, sembilan dan PKR, 11,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Kuala Lumpur, hari ini dan dihadiri Presiden Amanah Mohammad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, kesemua komponen PH-PKR, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) - juga sebulat suara bersetuju untuk gabungan berkenaan bertanding menggunakan logo PH dalam PRN berkenaan.
"Jadi kita berjuang atas satu logo, satu pendirian dan satu manifesto bagi peringkat negeri,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November, penamaan calon pada 8 Nov manakala undi awal pada 16 November ini.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lepas apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Anwar berkata, selain itu, perbincangan PH juga turut memuktamadkan agihan kerusi Parlimen negeri itu yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Kita juga berbincang jangka panjang pembahagian kerusi Parlimen yang juga telah kita putuskan iaitu PKR kekal dua, Amanah dua dan DAP akan tambah Parlimen Alor Gajah kerana ini kawasan tradisional DAP tetapi didesak (Parti Pribumi) Bersatu (Malaysia) dalam pilihan raya umum yang lepas (untuk bertanding) dan kini kita serah kembali kepada DAP,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PKR bertanding di Parlimen Tangga Batu dan Hang Tuah Jaya, Bersatu di Alor Gajah dan Masjid Tanah, Amanah di Jasin manakala DAP di Kota Melaka. Bersatu pada PRU14 merupakan komponen parti PH.
Melaka mempunyai keseluruhan enam kerusi Parlimen dan daripada jumlah itu, PH menang empat kerusi iaitu Parlimen Hang Tuah Jaya (PKR), Tangga Batu (PKR), Alor Gajah (Bersatu) dan Kota Melaka (DAP).
Sementara itu, ditanya mengenai rundingan bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang berhasrat bertanding bersama dengan blok PH, Anwar berkata perbincangan masih berlangsung. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!