Pencapaian wanita Malaysia membanggakan

Amirudin Shari. - Foto Bernama
Amirudin Shari. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pencapaian wanita negara ini diakui membanggakan merentasi pelbagai aspek dari sukan, politik, pentadbiran, perniagaan dan pendidikan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, wanita terus menjadi peneraju ibarat obor yang menyuluh kepada kejayaan.

Menurutnya, kerajaan Selangor mengangkat agenda memartabatkan wanita sebagai keutamaan.

“Selangor terus bangga menjadi satu-satunya negeri mempunyai 30 peratus penglibatan wanita dalam badan eksekutif iaitu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, selaras dengan tema Hari Wanita Sedunia tahun ini iaitu #BalanceforBetter.

“Kerajaan negeri juga mengangkat martabat wanita menerusi pelbagai program seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) di setiap 56 DUN di Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Amirudin berkata, beliau percaya peranan wanita tidak harus terbatas kepada aspek kekeluargaan namun terus membugar menjadi pembuat keputusan dan pelaksana polisi dalam politik dan ekonomi.

Katanya, tahun ini kerajaan negeri menunjukkan komitmen melalui dasar Kerja Dari Rumah ataupun ‘work from home’.

“Penerima-penerima program KISS boleh terlibat secara aktif dalam membina syarikat mikro sendiri untuk menjana pendapatan, bukan dikekang dari penglibatan ekonomi hanya kerana tanggungjawab menjaga anak.

Artikel Berkaitan:

“Dasar inovatif sebegini akan dikembangkan dalam semua aspek kerajaan kerana tema #BalanceforBetter menyeru kita bahawa wanita adalah pemimpin hari ini juga penentu masa hadapan yang lebih cerah,” katanya.

Amirudin turut melihat pusat IWB adalah ruang untuk memartabatkan wanita dari segenap aspek bagi mencapai tahap kesaksamaan antara gender dan menolak diskriminasi dari semua aspek.

“Pembangunan wanita perlu jadi asas kepada semua dasar pembangunan negara dari segi politik, ekonomi mahupun sosial untuk memartabatkan peranan wanita di Malaysia. Selamat Hari Wanita 2019!,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!