Vaksin: Lebih 55,000 penduduk Sarawak terima dos penggalak

Seramai 55,017 penduduk di Sarawak telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 setakat semalam.- Gambar hiasan
Seramai 55,017 penduduk di Sarawak telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 setakat semalam.- Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Seramai 55,017 penduduk di Sarawak telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Sarawak, Dr Rosemawati Ariffin.

Beliau berkata, vaksin itu diberikan secara percuma di klinik dan hospital swasta, klinik kesihatan, pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan secara bergerak.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak ingin menyeru mereka yang layak dan telah menerima janji temu melalui MySejahtera supaya hadir di mana-mana fasiliti kesihatan yang ditetapkan untuk mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dr Rosemawati berkata, vaksin Pfizer BioNTech telah diberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak tersebut dan mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Pfizer dibenarkan mendapat dos penggalak itu setelah melepasi enam bulan dari tarikh dos kedua.

“Penerima vaksin Sinovac dos pertama dan dos kedua dibenarkan menerima dos penggalak setelah melepasi tiga bulan dari tarikh dos kedua. Sekiranya belum, orang ramai boleh menghubungi fasiliti kesihatan yang terlibat untuk mendapatkan janji temu,” katanya.

Sarawak memulakan pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin Covid-19 itu untuk rakyatnya pada 13 Oktober lepas bagi memberi perlindungan tambahan kepada golongan berisiko tinggi.

Pemberian dos ketiga melibatkan golongan ‘immunocompromise’ atau mereka mempunyai sistem ketahanan badan lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan yang dianggarkan melibatkan 11,900 individu.

Dos penggalak pula diberikan kepada warga emas berusia lebih 60 tahun melibatkan 80,300 individu dan petugas barisan hadapan perubatan sebanyak 30,340 individu. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!