MP PH diarah bangun jika perbelanjaan luar bajet tidak disentuh

Anwar Ibrahim - Foto Bernama
Anwar Ibrahim - Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Semua ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) diarah bangun menentang sekiranya Bajet 2022 yang akan dibentangkan petang ini tidak menyentuh perbelanjaan luar bajet (off-budget) termasuk mengenai moratorium pinjaman bank.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, itu pendirian tegas parti berkenaan mengenai perbelanjaan luar bajet.

"Kita amat prihatin mengenai perbelanjaan luar bajet ini dan kita telah mengarahkan ahli Parlimen untuk bangun menentang keras.

"Ada rakyat tidak tahu dan agak terpengaruh dengan satu dua pengumuman kecil yang dibuat kerajaan yang memberi manfaat kepada mereka tetapi perbelanjaan luar bajet tidak dimaklumkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar PH berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Dari segi moratorium pinjaman bank, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, sebanyak 13 mesyuarat telah dihadiri beliau bagi membincang dan memuktamadkan soal pemberian moratorium itu kepada rakyat.

"Ini tidak termasuk usaha Guan Eng yang pergi berjumpa pengurus-pengurus bank untuk membincangkan soal ini.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, cara dan kaedah kelulusan tender dan projek yang tidak telus terutama seperti projek infrastruktur 5G akan turut kita beri perhatian," katanya.

Katanya, perkara lain yang akan diberi tumpuan adalah tentang kedudukan Lapangan Terbang Subang yang menimbulkan keraguan.

Tambah beliau, PH tidak mahu perkara itu disorok kerajaan memandangkab ia merupakan perbelanjaan di luar bajet.

Bajet 2022 dijadual akan dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!