Polis serbu empat sarang dadah
BUTTERWORTH - Seramai 25 orang penagih dadah ditahan dalam empat serbuan berasingan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Monhd Noor berkata, Ops Khas yang diadakan bermula jam 9 malam itu menfokuskan port tumpuan kumpulan penagih melepaskan gian di sini.
Menurutnya, serbuan dilakukan bermula di kawasan Kampung Ujung Batu, Jalan Assumption, Jalan Bagan Dalam dan Kg Perlis di sini.
"Hasil dari serbuan itu kita telah dan telah menahan 25 orang penagih dadah yang berusia diantara 20 hingga ke 65 tahun dan kebanyakan daripada mereka bekerja sebagai buruh dan penganggur.
"Hasil pemeriksaan di dalam operasi tersebut telah merampas bahan-bahan yang disyaki dadah heroin seberat 33.5 gram dan syabu seberat 3.0 gram dari 11 penagih yang ditangkap," katanya ketika dihubungi di sini.
Noorzainy berkata, kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,800 dan dadah tersebut adalah untuk kegunaan mereka sendiri.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan juga mendapati kesemua mereka positif dadah.
"Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD SPU untuk tindakan lanjut dan akan di bawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman," katanya.
Sementara itu, dalam satu serbuan berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 56 tahun di Jalan Raja Uda di sini bersama sejumlah dadah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan fizikal pada suspek dan pemeriksaan yang dilakukan didalam rumahnya telah menjumpai 18 gram dadah disyaki heroin dan 2.5 gram dadah jenis syabu.
Noorzainy berkata, siasatan mendapati dadah yang dirampas adalah untuk kegunaan sendiri dan dianggarkan bernilai RM1, 070.
"Suspek yang positif dadah jenis methamphetamin dan morfin kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut.
"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952 serta Sek 15(1)(a) akta yang sama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!