Hutang luar Malaysia RM1.02 trilion sehingga akhir Jun 2021
HUTANG luar Malaysia meningkat kepada RM1.021 trilion atau 67.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir Jun 2021, terutamanya disebabkan oleh peningkatan pinjaman luar pesisir oleh sektor awam dan pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit yang lebih besar oleh bukan pemastautin.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada Jumaat, jumlah hutang tersebut pada 2020 adalah RM958.14 bilion atau 67.6 peratus daripada KDNK.
Hutang luar tersebut merangkumi pinjaman luar pesisir negara, pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit ole bukan pemastautin, deposit bukan pemastautin dan lain-lain.
“Pinjaman luar pesisir kekal sebagai komponen terbesar hutang luar iaitu berjumlah RM589.5 bilion atau 57.8 peratus.
“Peningkatan pinjaman luar pesisir oleh sektor awam adalah berikutan terbitan sukuk global oleh Kerajaan Persekutuan serta bon dan sukuk mata wang asing oleh syarikat awam,” katanya.
Selain itu, pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit dan deposit oleh bukan pemastautin mencatat RM338.4 bilion atau 33.2 peratus.
Laporan itu turut menyebut, dari aspek profil kematangan, hutang luar berjangka sederhana dan panjang meliputi 62.2 peratus daripada jumlah hutang luar yang mencerminkan risiko pembiayaan semula yang rendah.
Hutang luar berjangka pendek pula meliputi 37.8 peratus dan disandar kepada rizab antarabangsa yang mencukupi manakala risiko luaran juga dapat ditangani dengan ketersediaan aset luaran dan terimaan eksport yang besar, katanya. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!