Kadar inflasi dijangka catat 2.1 peratus pada 2022

Inflasi bagi keseluruhan tahun 2021 dijangka mencatat 2.4 peratus. - Foto hiasan
Inflasi bagi keseluruhan tahun 2021 dijangka mencatat 2.4 peratus. - Foto hiasan
A
A
A

KADAR inflasi dijangka mencatat 2.1 peratus pada 2022 berikutan prospek ekonomi yang lebih baik dan harga minyak mentah yang stabil.

Menurut Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2022 yang dikeluarkan hari ini, permintaan penggunaan barang dan perkhidmatan oleh isi rumah dijangka dapat disokong oleh andaian persekitaran pekerjaan yang lebih baik.

“Seterusnya, unjuran pertumbuhan aktiviti pelaburan swasta dan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan meningkatkan permintaan dalam negeri,” katanya.

Di samping itu, katanya kadar Indeks Harga Pengeluar (IHPR) diunjur stabil berikutan jangkaan pemulihan ekonomi domestik dan global.

Katanya IHPR berdasarkan pengeluaran tempatan meningkat 8.2 peratus pada lapan bulan pertama 2021 dan dijangka kekal stabil berikutan normalisasi kos input.

“Pertumbuhan tersebut disebabkan oleh peningkatan harga komoditi global terutamanya minyak mentah dan gas asli,” katanya.

Sementara itu, pertumbuhan IHPR mengikut sektor didorong oleh peningkatan signifikan dalam sektor pertanian, perhutanan dan perikanan (36.6 peratus) dikuti oleh sektor perlombongan (30.2 peratus), pembuatan (4.3 peratus) dan bekalan air (0.7 peratus).

Bagaimanapun, indeks sektor bekalan elektrik dan gas menguncup 0.7 peratus dalam tempoh tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, katanya Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 2.3 peratus pada lapan bulan pertama 2021 dan trend ini dijangka berterusan sepanjang tahun.

“Selain itu, indeks teras meningkat secara marginal 0.7 peratus dalam tempoh yang sama menunjukkan permintaan dalam negeri yang berterusan serta pembukaan semula aktiviti ekonomi secara beransur-ansur,” katanya.

Katanya, perubahan daripada deflasi pada tahun sebelumnya disebabkan oleh harga pam RON97, RON95 dan diesel yang lebih tinggi berikutan peningkatan harga minyak mentah global walaupun caj elektrik lebih rendah susulan diskaun bil yang diberikan menerusi pakej rangsangan.

Oleh itu, ujar beliau, inflasi bagi keseluruhan tahun 2021 dijangka mencatat 2.4 peratus. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!