Sektor pendidikan terima peruntukan terbesar
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Bajet 2022 kekal mengutamakan pendidikan sebagai segmen terpenting perbelanjaan negara dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sejumlah RM52.6 bilion.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia mewakili 16 peratus daripada keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan.
Menurutnya, menerusi bajet itu nilai Bantuan Awal Persekolahan yang diberikan dinaikkan.
"Bagi tahun 2022, kerajaan bersetuju untuk menyediakan Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 iaitu meningkat berbanding RM100 sebelum ini.
"Sejumlah RM450 juta diperuntukkan untuk tujuan ini yang dijangka memanfaatkan tiga juta murid-murid yang layak," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Beliau berkata, tidak ada yang lebih menggembirakan buat anak-anak apabila dapat kembali semula ke sekolah secara bersemuka bersama rakan.
"Setiap awal tahun juga tentunya ibu bapa yang paling sibuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak dan sudah tentu peningkatan pemberian Bantuan Awal Persekolahan itu akan banyak membantu," katanya.
Dalam pada itu, katanya, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bakal diperuntukkan sejumlah RM14.5 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!