Sarawak bina sekolah kediaman antarabangsa
KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak akan menubuhkan sekolah kediaman antarabangsanya tidak lama lagi dengan kerjasama Universiti Cambridge dari United Kingdom, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, walaupun pendidikan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat namun, kerajaan negeri menyuntik pelaburan yang besar khususnya dalam pendidikan menengah dan tinggi supaya anak muda negeri itu boleh menyumbang kembali kepada inistiatif ekonomi digital negeri itu.
Peruntukan akan disediakan tahun depan untuk membina empat buah sekolah kediaman antarabangsa di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pendidikan Sin Chew 2019, di sini, hari ini.
Beliau berkata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin baru sahaja kembali dari Universiti Cambridge selepas mengkaji kerjasama tersebut.
Pameran tersebut turut dihadiri Pemangku Persuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia, Gareth Pidgeon, Manyin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Media Chinese International Limited (MCIL), Tiong Choon
MCIL menguasai empat akhbar arus perdana berbahasa Cina di negara ini -- Sin Chew Daily, China Press, Guang Ming Daily dan Banyang Siang Pau.
Abang Johari berkata sukatan pelajaran antarabangsa untuk pelajar tingkatan satu hingga lima adalah sama dengan apa yang dilaksanakan di Singapura termasuk mata pelajaran Bahasa Malaysia sebagai subjek tunggal dengan yuran disubsidi oleh kerajaan negeri.
Buat masa ini pelajar tempatan yang menerima biasiswa Yayasan Sarawak diberi peluang untuk melanjutkan pengajian tinggi di universiti diktiraf antarabangsa di New Zealand, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom khusus dalam bidang pengajian berasaskan teknologi, katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri mengguna pakai bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi lain di Sarawak sebagai sebahagian daripada pendekatan kepada pendidikan yang perlu diubah jika mahu melonjak ke Revolusi Perindustrian 4.0. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!