'Syukur, KPKT diberi peruntukan mengurus, pembangunan berimbang'

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik pembentangan Bajet 2022 apabila cadangan-cadangan KPKT dalam memperkukuh Agenda Perumahan untuk rakyat diberi pertimbangan oleh kerajaan.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, cadangan tersebut antaranya meneruskan projek-projek perumahan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.5 bilion.

Menurutnya, peruntukan itu sekali gus membolehkan pembangunan rumah mesra rakyat dan bantuan menyelenggara perumahan rakyat.

"Syukur, KPKT diberikan peruntukan mengurus dan pembangunan yang berimbang bagi merealisasikan aspirasi perumahan berdaya huni, perkhidmatan perbandaran yang mampan dan perkhidmatan kebombaan yang efektif, yang manfaat akhirnya melimpah ke seluruh Keluarga Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Jumaat.

Selain itu katanya, kerajaan turut menyantuni kumpulan rentan yang tiada pendapatan tetap seperti pekerja gig, pengusaha kecil dan petani untuk memiliki kediaman idaman masing-masing melalui peruntukan sebanyak RM2.0 bilion disediakan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan.

Jelasnya, kerajaan turut mempertimbang cadangan KPKT agar tidak lagi mengenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah bagi pelupusan oleh individu warganegara, pemastautin tetap dan selain syarikat mulai tahun keenam dan ke atas

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut katanya, hasrat kementerian untuk melebarkan aspirasi Malaysia Berdaya Huni kepada penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) juga diberi pertimbangan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi menyediakan kemudahan internet di 40 PPR sedia ada.

"Pasukan KPKT akan meneruskan komitmen untuk menyampaikan kepada Keluarga Malaysia dan memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya.

"Kepada pasukan KPKT saya, ini masanya untuk kita terus bekerja. Ini masanya untuk kita terus 'deliver'. Bajet 2022 kita jadikan realiti untuk semua," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!