SWCorp, MPPD minta orang ramai kitar semula minyak masak terpakai

Mohd Zahir (kiri), Ken Hwa (dua kanan) dan Mohd Zamri (kanan) ketika Pelancaran Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai di Lukut, Port Dickson, pada Jumaat.
Mohd Zahir (kiri), Ken Hwa (dua kanan) dan Mohd Zamri (kanan) ketika Pelancaran Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai di Lukut, Port Dickson, pada Jumaat.
A
A
A

PORT DICKSON - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) meminta orang ramai agar mengitar semula minyak masak terpakai dalam usaha menjaga alam sekitar dan ekosistem di negeri ini.

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Mohd Zahir Shari berkata, dalam masa sama, usaha itu dapat menjana pendapatan keluarga melalui pertukaran minyak masak terpakai dengan wang tunai RM1.50 sekilogram.

"Kesedaran penggunaan minyak masak terpakai berulang kali juga boleh memudaratkan kesihatan dan pencemaran alam sekitar.

"Selain itu MPPD dan SWcorp ingin mendidik masyarakat supaya menjaga kebersihan di rumah dan tidak membuang minyak masak terpakai ke dalam longkang dan tong sampah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Pelancaran Kempen Kitar Semula Minyak Masak Terpakai: 'PD Clean We Care - Trash To Cash' ( Local Agenda 2030) di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Penerangan Dan Integrasi Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lukut, Choo Ken Hwa dan Yang Dipertua MPPD, Mohd Zamri Mohd Esa.

Mengulas lanjut, Mohd Zahir berkata, perbuatan membuang minyak masak terpakai di tempat tidak sepatutnya itu bukan sahaja boleh mencemarkan alam sekitar malah boleh menjadi tempat pembiakan lipas, tikus dan nyamuk selain menjadi punca banjir.

"Minyak masak terpakai ini akan dikitar semula menjadi biodisel untuk kegunaan mesin, jentera dan alternatif bahan api yang bersih.

Artikel Berkaitan:

" Justeru kami merancang untuk mengadakan beberapa kempen kitar semula pada tahun hadapan," katanya.

Tambahnya, kempen kitar semula minyak masak terpakai ini merupakan kolaborasi antara SWCorp negeri dengan MPPD akan diadakan setiap Jumaat minggu terakhir dalam sesuatu bulan.

"Bagaimanapun usaha ini akan diteruskan pada tahun hadapan mengikut jadual baharu yang akan ditetapkan semula," katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!