Rehda sambut baik tindakan mansuhkan Cukai Keuntungan Hartanah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyambut baik tindakan kerajaan yang mengambil kira saranan memansuhkan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) ke atas rumah yang dilupuskan pada tahun keenam dan seterusnya oleh rakyat Malaysia dan penduduk tetap di negara ini.

Presidennya, Datuk Ir Soam Heng Choon berkata, RPGT pada mulanya diperkenalkan untuk membendung spekulasi apabila pasaran hartanah rancak, namun di bawah keadaan pasaran semasa yang semakin merundum, langkah tersebut amat dialu-alukan.

“Kami berharap langkah itu akan membantu menggiatkan pasaran hartanah kami untuk menjadikannya lebih berdaya tahan dan akhirnya diterjemahkan kepada kesan pengganda yang positif terhadap ekonomi,” kataya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Choon berkata, sentimen kerajaan tentang keperluan rumah untuk semua individu terutamanya B40 turut disokong oleh Rehda.

Menurutnya, peruntukan selanjutnya sebanyak RM1.5 bilion untuk meneruskan program perumahan seperti pembangunan Rumah Mesra Rakyat dan penyelenggaraan unit perumahan awam, adalah satu langkah ke arah yang betul.

“Begitu juga dengan jaminan RM2 bilion yang diberikan kepada bank melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk membantu mereka dalam ekonomi gig dan sama, dengan keupayaan untuk membayar tetapi tanpa penyata pendapatan adalah satu lagi langkah yang dialu-alukan.

“Ia diharap akan menggalakkan lebih ramai kumpulan ke arah pembelian rumah memandangkan mereka sekarang ada akses yang lebih mudah kepada pembiayaan rumah,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya menghargai usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan berharap lebih banyak langkah-langkah positif dilaksanakan ke arah pemulihan pasaran hartanah.

Artikel Berkaitan:

“Walau bagaimanapun, apabila negara ini perlahan-lahan pulih daripada wabak Covid-19, kami berharap perkembangan bajet tersebut akan memberi manfaat kepada semua sektor ekonomi dan membuka jalan bagi pemulihan dan pertumbuhan negara.

“Rehda berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan dalam mempromosikan sektor hartanah dan hartanah yang lebih stabil, sihat dan progresif,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!