12 lelaki 'bertarung' dengan aligator seberat 350kg
![Kira-kira 12 lelaki terpaksa 'bertarung' dengan seekor aligator jantan Amerika seberat 350 kilogram di sebuah zoo di New South Wales (NSW), Australia, baru-baru ini.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/10/30/1252303.jpg)
SYDNEY - Kira-kira 12 lelaki terpaksa 'bertarung' dengan seekor aligator jantan Amerika seberat 350 kilogram di sebuah zoo di New South Wales (NSW), Australia baru-baru ini.
Kejadian berlaku selepas 12 kakitangan zoo mahu menangkap haiwan tersebut untuk dibawa ke sebuah tempat pengasingan dari sebuah lagun setelah ia berkelakuan ganas.
Haiwan itu berkongsi habitat dengan 54 aligator lain di sebuah lagun di Taman Reptilia Australia, Somersby, NSW mula bertindak agresif dan mengganggu aligator lain dipercayai disebabkan oleh perubahan iklim kerana cuaca semakin panas serta musim mengawan semakin hampir.
Bagaimanapun, tugas untuk menangkap haiwan tersebut yang diberi nama Kanye West iaitu sempena nama penyanyi rap terkenal di Amerika Syarikat (AS), tidak mudah seperti yang dijangkakan.
Setelah berjaya ditarik ke atas daratan dengan menggunakan tali yang berjaya diikat pada rahang reptilia tersebut, beberapa kakitangan zoo berkenaan terpaksa duduk di atas badan haiwan itu.
Rahang aligator yang kelihatan seperti buaya itu perlu ditutup dalam proses penangkapan tersebut.
Mereka juga terpaksa berhati-hati kerana rahang haiwan yang mempunyai 80 batang gigi memiliki rahang yang paling kuat berbanding binatang lain dan satu gigitan aligator itu mungkin boleh membawa maut.
Menurut Pengarah Zoo itu, Tim Faulkner, kelakuan haiwan itu bukan sahaja membahayakannya tetapi juga kepada aligator dan kakitangan zoo.
Beliau berkata, reptilia tersebut masih muda dan penuh dengan hormon testosterone menyebabkan berlakunya 'kekecohan' melibatkan aligator lain di lagun itu.
Katanya, cara yang terbaik untuk mengatasi masalah itu adalah dengan menghantarnya ke sebuah sebuah 'tempat hukuman' buat sementara waktu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!