Air pasang besar: Orang awam dilarang ke pantai di Kuala Langat

Fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut dijangka berlaku minggu depan. - Gambar hiasan
Fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut dijangka berlaku minggu depan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LANGAT - Orang awam dilarang memasuki kawasan peranginan pantai di daerah ini sepanjang fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut yang bermula minggu depan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, air pasang besar dijangka berlaku bermula 3 hingga 7 November depan.

Menurutnya, MPKL akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan terlibat.

"Antara kawasan yang dijangka berlaku limpahan air seperti Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

"Justeru itu MPKL akan menutup kawasan peranginan pantai dan kemudahan-kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk di Pantai Kelanang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hujan lebat dan angin kencang secara serentak bersama air pasang besar boleh menyebabkan risiko berlakunya kejadian banjir yang lebih buruk.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan orang awam yang tinggal di pesisir pantai menyimpan semua dokumen penting di tempat selamat serta mudah diambil sekiranya berlaku kejadian banjir.

"Orang ramai khususnya penduduk di daerah diingatkan agar tidak mendekati atau memasuki serta tidak menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh yang ditetapkan memandangkan semua kawasan peranginan pantai yang terlibat akan ditutup sepenuhnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!